Pengumuman itu dilakukan sejurus selepas dua pemimpin kumpulan militan, Isnilon Hapilon dan Omar Maute dilaporkan terkorban dalam pertempuran pada 16 Oktober lalu.

Malah, seorang rakyat Malaysia yang disebut-sebut pemim­pin baharu Daesh di Asia Tenggara, Dr. Mahmud Ahmad juga dikatakan terbunuh.

Pengumuman tersebut mungkin memberi kelegaan seketika kepada penduduk tempatan selepas terpaksa meninggalkan kediaman dan hidup sebagai pelarian selama lebih 145 hari.

Melihat kembali konflik di Marawi, tentera kerajaan pada mulanya melancarkan serbuan di bandar berkenaan bagi menangkap Isnilon selepas mene­rima laporan dia berada di situ.

Pertempuran tercetus selepas anggota militan diketuai Isnilon melancarkan tembakan ke arah tentera malah turut memang­gil kumpulan Maute untuk turut serta.

Maute menyerang Camp Ranao dan beberapa bangunan se­perti Marawi City Hall, Min­danao State University, hospital, penjara, Saint Mary Cathedral dan Ninoy Aquino School.

Seramai 87 penduduk awam, 854 militan dan 163 tentera terkorban manakala lebih 1,400 orang lagi cedera sepanjang pertempuran berkenaan.

Namun adakah pertempuran itu merupakan penamat kepada kebangkitan kumpulan militan di selatan negara tersebut?

Selatan Fili­pina merupakan tempat bertapaknya pengaruh kumpulan pengganas Daesh di rantau ini selepas kegiatan mereka ditentang di Iraq serta Syria.

Mereka menjadikan selatan Fili­pina sebagai hab meluaskan pe­nguasaan mereka dan bukti­nya seramai lebih 40 orang pengganas asing turut serta dalam pertempuran di Marawi.

Oleh itu, melihat bilangan yang terbabit dari sebilangan negara, adalah mustahil untuk mengekang kebangkitan pengganas di selatan negara itu.

Namun pentadbiran Duterte dilihat mengambil langkah awal dengan segera melaksanakan pemerintahan tentera di seluruh rantau selatan Min­danao,selepas khuatir serangan di Marawi adalah permulaan Daesh untuk menubuhkan pe­ngaruh mereka di sana.

Tambahan pula, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Malaysia dan Indonesia bagi mewujudkan kerjasama memerangi keganasan baru-baru ini.

Selain itu, kerjasama itu turut melibatkan penubuhan pasukan petugas khas bersama untuk menjejaki militan Daesh.

Melihat usaha dilakukan oleh Duterte, tidak mustahil Filipina mampu menghapuskan pe­ngaruh pengganas.

Soalnya kini, hanya masa yang menentukan sejauh mana keberkesanan langkah diambil oleh Duterte.