Wanita itu meninggal dunia di Pusat Perubatan Fairview, Montego Bay, St. James di sini pada pukul 2.30 petang dan berita kematiannya telah diumumkan oleh Perdana Menteri Jamaica, Andrew Holness.

Brown diiktiraf sebagai manusia tertua di dunia oleh Guiness Book of Records pada 15 April lalu dan pada masa yang sama anaknya, Harold Fairweather, 97, pula menjadi manusia tertua yang masih hidup bersama-sama orang tuanya.

Namun beberapa hari selepas wanita itu diumumkan sebagai manusia tertua, Fairweather meninggal dunia.

Dalam temubual dengan majalah Observer tahun lalu, Brown berkata, dia menjaga kesihatannya dengan mengelak memakan ayam dan babi.

Dia lebih gemar memakan ikan dan daging kambing dan kadang-kala memakan kaki lembu, lapor portal Mirror.

Selain itu, dia juga mengamalkan memakan buah-buahan seperti mangga, oren, sukun, ubi keledek dan ubi kentang.

Brown mengambil alih gelaran manusia tertua di dunia selepas kematian Emma Morano yang meninggal dunia pada usia 117 tahun dan 137 hari.

Dalam pada itu portal New York Daily melaporkan, anak Brown, Barry Russel, 87, berkata, ibunya kelihatan tidak sihat sejak ming­gu lalu dan telah dibawa ke hospital.

Namun terdapat laporan bahawa Brown melalui hari-hari yang sukar sebelum meninggal dunia selepas tercetus pertelingkahan dalam kalangan anggota keluar­ganya.

Ada laporan lain yang mendakwa, wanita itu tidak dijaga dengan baik dan dibawa keluar dari rumahnya manakala beberapa anggota keluarga lain panik kerana tidak tahu di mana Brown berada.