Portal berita Al Jazeera melaporkan, Timbalan Gabenor Wilayah Asir, Putera Mansour Muqrin Al Saud, sedang dalam lawatan ke projek-projek tempatan di barat bandar Abha ketika kejadian berlaku lewat malam tadi.

Kementerian Dalam Negeri Saudi dalam satu kenyataan berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.

Saluran berita milik kerajaan Arab Saudi, Al Arabiya melaporkan, Putera Mansour meninggal dunia di tempat kejadian dan tujuh pegawai lain juga turut terbunuh.

Putera Mansour yang juga anak lelaki bekas Putera Mah­kota Muqrin Abdulaziz telah dilantik sebagai timbalan gabenor wilayah yang bersempadan dengan Yemen pada awal tahun ini.

Video yang disiarkan di laman Twitter beberapa jam sebelum kemalangan itu me­nunjukkan beliau melakukan pemeriksaan terhadap projek pertahanan dan alam sekitar di kawasan berkenaan.

Tragedi itu berlaku sehari selepas kerajaan Arab Saudi me­lancarkan siasatan besar-besaran terhadap salah laku dalam kalangan golongan atasan me­libatkan penahanan lebih 11 putera raja, menteri, puluhan bekas menteri serta seorang hartawan terkenal ketika Putera Mahkota, Mohammed Salman me­ngukuhkan kuasanya.

Kemalangan itu juga berlaku selepas Arab Saudi berjaya memintas peluru berpandu balistik berhampiran lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang dilancarkan pemberontak Houthi dari Yemen. – AFP