Keadaan ini dikhuatiri akan mencetuskan krisis kesihatan ekoran tragedi yang telah mengorbankan 400 nyawa setakat ini sementara beribu lagi kehilangan tempat berteduh apabila kediaman mereka ranap.

"Ramai kanak-kanak sakit dan demam serta mereka tidak mempunyai air yang cukup. Bekalan ubat kami sudah berkurangan daripada biasa... keadaan ini tidak baik untuk mangsa.

"Air bersih tidak mencukupi. Mereka memerlukan makanan, ada mangsa hanya tidur beralaskan lantai," kata Rizal Abdullah seorang doktor yang bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aksi Cepat Tangan.

NGO itu menjadikan sebuah sekolah sebagai pusat perlindungan.

Jumlah terkini mangsa tsunami yang melanda selatan Sumatera dan barat Jawa itu mencatatkan 397 orang terbunuh, 1,021 cedera dan 77 lagi masih hilang.

Kira-kira 5,000 penduduk yang lari menyelamatkan diri takut untuk pulang ke rumah, bimbang bencana itu akan berulang.

"Sudah tiga hari saya berada di sini, saya takut untuk pulang kerana rumah saya betul-betul di tepi pantai," kata Neng Sumarni yang tinggal di pusat penempatan bencana itu bersama suami dan tiga orang anaknya. - AFP