Setakat ini, lima mayat orang awam yang dipenggal ditemukan di bandar Marawi yang dikuasai kumpulan militan itu.

Penemuan itu yang merupakan antara 17 mayat lain yang dikeluarkan daripada bandar itu sekali gus menjadi bukti pen­ting bahawa orang awam yang terperangkap di bandar ber­kenaan dipenggal sepanjang penguasaan lima minggu kumpulan militan Maute yang dikaitkan dengan militan Daesh.

Bagaimanapun, jurucakap pasukan pemerintah Barat Min­danao, Leftenan Kolonel Emmanuel Garcia tidak menghuraikan lanjut tentang pe­nemuan di bandar selatan pulau Mindanao itu.

Pertempuran di Marawi memasuki hari ke-36 pada hari ini dengan bedilan senjata api dan bom dapat didengari dari pusat bandar dengan anggota militan serba hitam dirakam dari jauh berlari antara satu bangunan ke bangunan lain ketika letupan berlaku.

Jurucakap tentera, Restituto Padilla berkata, kebarangkalian besar lebih banyak orang awam terbunuh dengan kematian berjumlah 27 orang tidak termasuk 17 mayat yang ditemukan hari ini.

Katanya, kebanyakan korban terdahulu telah dilihat oleh penduduk yang berjaya melarikan diri daripada kawasan pertempuran.

“Jumlah ini akan meningkat secara mendadak selepas kita dapat mengesahkan kesemua maklumat ini,” kata Padilla.

Padilla menjelaskan, punca kematian penduduk itu adalah akibat kezaliman pengganas yang dilapor memaksa penduduk mencuri, mengangkat senjata atau menjadi hamba seks.

Video yang dimuat naik di agensi berita Amaq, laman sesawang Daesh dan saluran media sosial merakamkan penduduk yang dijadikan tebusan merayu mereka diselamatkan atau akan dipenggal sekiranya serangan udara tidak dihentikan. – REUTERS