Gadis malang berusia 23 tahun bagaimanapun diselamatkan oleh teman lelakinya.

Lima lelaki telah ditangkap dalam kejadian jenayah terburuk di India dan mereka dijangka didakwa atas kesalahan membunuh dan merogol esok di mahkamah khas bagi mempercepatkan kes itu.

Menurut dokumen polis yang akan difailkan di mahkamah esok, teman lelaki mangsa yang turut dipukul dan dicampak keluar bas tersebut selepas gadis itu dirogol, sempat menyelamatkannya daripada dilanggar kenderaan itu.

Akhbar dan televisyen tempatan melaporkan, mangsa sempat menggigit tiga perogol ketika cuba melawan mereka.

''Kecederaan dialami suspek serta bukti forensik seperti sampel darah, air mani dan rambut serta keterangan teman lelaki mangsa, dijangka menjadi bukti utama terhadap suspek-suspek,'' kata laporan tersebut.

Menteri Dalam Negeri India, Sushilkumar Shinde semalam berkata, lima suspek tersebut mungkin dijatuhkan hukuman mati jika didapati bersalah dan dakwaan terhadap mereka adalah kuat.

Akhbar The India Express melaporkan, gadis dan teman lelakinya dibogelkan dan dicampak keluar dari bas tersebut.

''Rakan mangsa sempat menyelamatkannya apabila melihat bas itu berundur untuk melanggar gadis tersebut,'' lapor akhbar itu semalam.

Akhbar The Times of India melaporkan, kertas pendakwaan dipercayai akan memberi maklumat terperinci bermula dengan bagaimana pemandu bas awam tersebut bersama rakan-rakannya melakukan perbuatan tersebut.

''Satu daripada tuduhan yang bakal dikenakan adalah cubaan memusnahkan bukti kerana pemandu bas itu cuba membasuh kenderaan tersebut dan membakar pakaian yang diambil daripada mangsa,'' lapor akhbar berkenaan. - AFP