Taniguchi berusia 16 tahun ketika tentera Amerika Syarikat (AS) menjatuhkan bom atom ke Nagasaki pada Ogos 1945 yang menyebabkan beliau melecur teruk pada bahagian tangan dan belakang badannya.

Rentetan daripada peristiwa itu, Taniguchi bergiat aktif sebagai aktivis yang menentang penggunaan senjata nuklear.

Kisahnya bermula pada Janua­ri 1946, apabila seorang anggota tentera AS melawat semua mang­sa pengeboman di hospital dan mengambil gambar Taniguchi yang ketika itu meniarap dengan luka pada perut serta belakang badannya jelas kelihatan.

Sejak itu, gambar berkenaan digunakan selama berdekad-de­kad oleh kumpulan aktivis untuk menggambarkan keperitan yang terpaksa ditanggung oleh semua mangsa bom atom yang terselamat.

Menurut Mail Online, Taniguchi meninggal dunia di sebuah hospital di barat daya Nagasaki selepas tahap kesihatannya semakin merosot sejak beberapa tahun lepas akibat barah.

Pada 2015 ketika berucap dalam maj­lis memperingati tra­gedi tersebut di sini, Taniguchi menceritakan bagaimana hi­dupnya berubah se­lepas terkena letupan bom atom.

“Pada pagi 9 Ogos 1945, saya sedang me­nunggang basikal kira-kira 1.7 kilome­ter dari lokasi letupan. Tiba-tiba, satu letupan kuat berlaku dan saya tercampak ke atas tanah. Apabila tersedar, saya melihat badan saya melecur,” katanya.

Beliau memberi­tahu, tragedi itu menyebabkan orang ramai menjerit ketakutan, selain banyak mayat bergelimpangan.

Tragedi itu juga menyebabkan Taniguchi terpaksa meniarap selama dua tahun ekoran luka yang dialaminya teruk sehingga menampakkan tulang.