BBC melaporkan, beberapa pasukan menangkap ular telah dikerahkan ke kawasan terjejas berikutan kebimbangan bahawa reptilia berkenaan mungkin menjadikan ruang dalam almari, permaidani atau mesin basuh untuk me­nyembunyikan diri.

Hospital di kawasan yang terjejas juga sedang menyiapkan bekalan anti-bisa.

Malahan, beberapa hospital di utara dan tengah Kerala melaporkan peningkatan kes pesakit yang terkena patukan ular.

Selain ular, kala jengking dan serangga lain turut dilaporkan menjadi ancaman di rumah mangsa-mangsa banjir.

Di media sosial, tular sebuah rakaman video seorang wanita yang cuba menghalang ular sawa sepanjang tiga meter daripada memasuki taman rumahnya dengan mengetuk penyapu di atas tanah.

Sementara itu, penangkap ular tempatan, Vava Suresh memberitahu Hindustan Times, dia telah menangkap lima ular tedung di daerah Ernakulam.

“Satu ditemui dalam almari pakaian di tingkat dua sebuah rumah sementara satu lagi dalam rak di sebuah rumah,” katanya.

Menurut Press Trust of India, penduduk disarankan agar menggunakan tongkat untuk menggeledah barangan mereka kerana dikhuatiri terdapat ular atau serangga lain yang bersembunyi.