Ini berikutan Amerika Syarikat (AS) bertindak memotong dana bantuan bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion) kepada Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pela­rian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

Malah negara kuasa besar dunia itu dalam tindakan terbaharunya dilaporkan telah menghentikan bantuan kepada agensi berkenaan.

Ketiadaan dana mencukupi me­mungkinkan sebanyak 711 se­kolah di bawah agensi itu di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Le–banon serta Syria terpaksa ditutup, hujung bulan ini.

Jelas, situasi itu amat membimbangkan ibu bapa tentang masa depan pendidikan anak-anak mereka jika sekolah terbabit ditutup.

Untuk rekod, AS merupakan penyumbang tunggal terbesar UNRWA, menyalurkan dana le­bih AS$350 juta (RM1.4 bilion) tahun lalu, tetapi pemberian dana itu dikurangkan kepada AS$65 juta (RM267 juta) tahun ini selepas Trump memutuskan untuk menyekat bantuan untuk penduduk Palestin.

Penyumbang dana kedua terbesar kepada UNRWA adalah Kesatuan Eropah (EU) sebanyak AS$143 juta (RM588 juta); Jerman AS$76 juta (RM312 juta); Sweden AS$62 juta (RM254 juta); United Kingdom AS$60 juta (RM246 juta); Arab Saudi AS$51 juta (RM209 juta); Jepun AS$43 juta (RM176 juta); Switzerland AS$27 juta (RM111 juta); Norway AS$26 juta (RM106 juta) dan Belanda AS$21 juta (RM86 juta).

UNRWA kehilangan dana yang cukup besar selepas keputusan AS itu kerana agensi terbabit mensasarkan sumbangan sebanyak AS$500 juta (RM2 bilion) bagi menyediakan bantuan kepada lebih lima juta penduduk Palestin yang terjejas akibat konflik dengan Israel sejak perang pada 1948.

Sejak 1949, UNRWA menyediakan pendidikan, penjagaan kesihatan, bantuan dan perkhidmatan sosial, infrastruktur kem dan penambahbaikan, kewangan mikro dan bantuan kecemasan kepada pelarian Palestin berdaftar di Jordan, Lebanon, Syria, Tebing Barat dan Genting Gaza.

Namun bagi seorang murid, Hala Muhanna, 11, berkata, me­sej­nya kepada masyarakat dunia adalah tiada siapa berhak menutup sekolah mereka.

“Walaupun mereka mengambil sekolah kami, kami akan menghidupkan semula sekolah itu dan menjadi individu yang lebih berilmu berbanding negara lain,” kata Hala Muhanna dengan bersemangat.

Keazaman murid itu menunjukkan pendidikan amat penting bagi penduduk Palestin yang beranggapan menerusi pendidikan mereka akan kekal berdaya saing dalam pelbagai bidang untuk memajukan negara mereka.

Malah, pembunuhan ahli akademik dan juga jurutera Palestin, Dr. Fadi M.R. Albatsh, 35, di Kuala Lumpur tahun ini membuktikan Israel amat bimbang dengan pencapaian ilmu yang dimiliki rakyat Palestin selepas Allahyarham didakwa membantu pergerakan Hamas dalam menghasilkan roket untuk menyerang Israel.

Selain itu, timbul persoalan adakah langkah tidak mesra yang digunakan Presiden AS, Donald Trump terhadap Palestin seperti memotong dana bantuan kepada UNRWA dan memindahkan kedutaan negara terbabit ke Baitulmuqaddis berpunca daripada pemimpin itu menerima tekanan daripada Israel untuk melemahkan penduduk Palestin.

AS dilihat mahu menggunakan bantuan yang diberikannya untuk memberi tekanan kepada kerajaan Palestin meneruskan rundingan damai Asia Barat de­ngan Israel selepas pihak berkuasa Palestin memboikot pentadbiran Trump sejak Disember lalu.

Palestin juga melihat langkah AS memindahkan kedutaan mereka dan usaha Washington menukar mandat UNRWA sebagai percubaan untuk mengetepikan hak agensi berkenaan di Asia Barat walaupun jelas AS memerlukan undi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menukar mandat berkenaan.

Apa yang pasti, di sebalik usaha AS dan Israel cuba melemahkan sistem pendidikan dan menghapuskan kedaulatan Palestin, negara dan umat Islam di seluruh dunia perlu berganding bahu dan bersatu hati mempertahankan hak Palestin daripada digugat.

Kebergantungan kepada negara-negara Eropah dan Arab Saudi dalam membantu dana UNRWA sepatutnya memalukan negara Islam memandangkan ke­banyakan negara Islam bukan­lah dikate­gorikan miskin dan sewajarnya satu usaha dilakukan khasnya oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sebelum dana kepada sekolah di bawah agensi itu kontang.