Sesi pengundian telah pun tertangguh beberapa kali sejak Khamis lalu.

Rusia mahu perubahan draf dilakukan tentang gesaan supaya diadakan 30 hari bertenang bagi membenarkan bantuan dan pemindahan perubatan.

Menurut laporan portal BBC, para diplomat barat menuduh Rusia yang merupakan sekutu Syria cuba melengah-lengahkan masa.

Perancis pula berkata, kegagalan untuk mengambil tindakan segera terhadap konflik berkenaan adalah petanda berakhirnya fungsi PBB.

Dalam tempoh tujuh hari sahaja, seramai 500 orang terbunuh, 121 daripadanya adalah kanak-kanak.

Pesawat-pesawat pejuang tidak berhenti membedil kawasan kumpulan pejuang di Ghouta Timur sejak semalam dan kawasan sasaran antaranya ialah Douma dan Hamouriyeh, kata saksi.

Seramai 393,000 penduduk masih terperangkap di kawasan berkenaan akibat serangan tanpa henti.

Negara-negara kuasa barat mengesyaki Moscow mahu memberikan Syria masa untuk memusnahkan terlebih dahulu kumpulan pejuang yang sedang mempertahankan kubu mereka di pinggir Damsyik.

Amerika Syarikat (AS), UK dan Perancis telah menggesa resolusi itu diluluskan tanpa penangguhan.

Utusan khas PBB, Staffan de Mistura berkata, gencatan senjata mesti disusuli dengan pembukaan laluan serta merta ke Ghouta Timur.

Semalam Presiden AS, Do­nald Trump menuding jari kepada Sy­ria dan sekutunya, Rusia serta Iran terhadap krisis kemanusiaan.

“Apa yang dilakukan oleh ketiga-tiga negara itu kepada penduduk Syria dalam tempoh yang singkat amat memalukan,’’ katanya semasa menerima kunjungan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull.

Dalam pada itu, draf ber­kenaan yang diusulkan oleh Kuwait dan Sweden menggesa gencatan senjata di seluruh negara berkuatkuasa 72 jam selepas resolusi diluluskan.