Bermula dengan keputusan untuk tidak mahu campur tangan dalam isu Syria, bahkan menye­rahkan kepada rakyat negara itu sendiri menentukan nasib Presi­den Syria, Bashar al-Assad, iaitu perubahan ketara berbanding pentadbiran Presiden terdahulu yang mahu menyingkirkan pe­mimpin itu.

Namun begitu, secara tiba-tiba pada Khamis lalu, AS gagal me­ngotakan janji sebaliknya melancarkan serangan 59 peluru berpandu Tomahawk ke pangkalan tentera udara rejim berkenaan dengan alasan sebagai tindak balas terhadap serangan gas sarin tentera regim terhadap orang awam di Khan Sheikhoun, Idlib.

Malah, Setiausaha Negaranya, Rex Tillerson pula memberitahu ‘langkah-langkah sedang diatur’ untuk mengumpul sokongan dunia bagi menyingkir Bashar dan menggesa rakan sekutunya, Rusia ‘mempertimbangkan secara mendalam’ sokongannya terhadap rejim Syria.

Melihat kepada perubahan dasar Trump yang boleh berlaku ‘sekelip mata’, maka tidak hairanlah banyak pihak yang mempertikaikan dasarnya terhadap China berkaitan isu nuklear Korea Utara.

Apabila Trump mencabar China untuk menyelesaikan segera isu itu atau AS akan bertindak sendiri jika negara tembok besar itu tidak menyahut cabaran tersebut, timbul kesangsian se­kuat mana pendirian pemimpin AS itu.

China juga mempunyai ‘rasa tidak puas hati’ terhadap AS ter­utama dasar One China yang dipatuhi oleh Presiden AS sebelum ini tetapi ‘disanggah’ oleh Trump melalui perbualan telefon de­ngan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen.

Negara komunis itu juga ‘berang’ dengan tindakan AS, meneruskan penghantaran Terminal Sistem Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) ke Korea Selatan kerana sistem radar THAAD disifatkan China mampu menembusi negaranya.

Namun yang pasti apa juga amaran tentang Korea Utara yang dikeluarkan oleh AS sama ada kepada China atau negara sekutu­nya yang lain tidak akan memberi kesan kepada negara pimpinan Kim Jong-un itu.

Seperti yang diketahui dunia, apa juga tindakan atau kecaman dunia terhadap Korea Utara, termasuk sekatan ekonomi, negara itu dengan pemimpin ‘keras kepala’, tidak pernah undur malah semakin ‘galak’ menunjukkan kekuatan tenteranya terutama melalui pemilikan peluru berpandu.

Malah Jung-un memberi amaran kepada AS, jika negara itu menyerang Korea Utara, beliau tidak teragak-agak memulakan serangan nuklear.

Keputusan Trump untuk menyelesaikan isu Korea Utara secara ‘solo’ dan sikap China terhadap isu berkenaan serta pendirian Korea Utara, dilihat oleh banyak pihak sebagai ‘bermain api’.

Kata pakar Asia Timur di Universiti Yonsei, Seoul, John Delury, usaha Trump untuk bertindak sendirian tidak akan berjaya malah sebarang usaha China untuk mempengaruhi Korea Utara juga tidak akan berjaya.

Korea Utara tidak akan mempedulikan apa juga tindakan dunia sebaliknya negara itu akan terus memperkasa keupayaan nuklearnya selain dunia tidak boleh membatasi keupayaan negara itu untuk melancarkan perang menggunakan senjata bio­logi.

AS dan negara-negara lain boleh memusnahkan segala kemudahan dan kelengkapan nuklear Korea Utara tetapi perlu diingat bahawa Zon Bebas Tentera (DMZ) negara itu terletak hanya 48 kilometer dari ibu negara Korea Selatan, Seoul.

Seoul merupakan kediaman kira-kira 25 juta penduduk, selain negara itu menempatkan 28,000 tentera AS manakala 50,000 lagi tenteranya ditempatkan di Jepun.

Malah kata Felo risikan Majlis Hubungan Luar AS, Timothy Phillips, Korea Utara tidak memerlukan senjata nuklear untuk memusnahkan Seoul, hanya peluru berpandu jarak dekat dan jarak jauh mampu meranapkan ibu negara Korea Selatan itu.

Apatah lagi kebanyakan peluru berpandu Korea Selatan sejak dahulu lagi memang diarahkan ke negara jirannya itu.