Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Azharuddin Abdul Rahman yang menghadiri persidangan keselamatan ICAO di sini berkata, pelaksanaan perubahan operasi penerbangan komersial global perlu disegerakan.

Katanya, laporan ICAO juga perlu dikeluarkan secara mandatori serta tepat pada masanya.

Selain itu, Malaysia dalam kertas kerjanya turut mengusulkan supaya penggunaan alat pengesan pesawat yang tepat perlu menjadi keutamaan dalam industri penerbangan, walaupun hal itu memberi kesan kepada kewangan penerbangan.

“Kami percaya berdasarkan kepada insiden lalu, pengesan pesawat meningkatkan keberkesanan operasi mencari dan menyelamat.

“Kehilangan pesawat MH370 pada Mac tahun lalu, membuktikan kepentingan untuk memperbaiki sistem pengesan pesawat dalam memastikan keselamatan dan perlindungan,” jelas usul itu yang akan dibentangkan, lusa.

Selain itu, persidangan ICAO yang bermula semalam turut membincangkan penggunaan isyarat pengesan pesawat ketika berdepan masalah serta pengenalan kotak hitam yang boleh memantul keluar dari pesawat ketika nahas bagi memudahkan operasi mencari pesawat yang hilang.

ICAO di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini digesa supaya mewujudkan sistem baharu bagi melindungi pesawat komersial daripada terdedah dengan risiko di zon konflik.

Gesaan itu berikutan tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, Julai tahun lalu yang menyebabkan seramai 298 orang terbunuh.

Agensi itu sebelum ini mengemukakan usul untuk menguji laman web pusat yang membolehkan negara luar dan agensi mengeluarkan amaran berhubung zon konflik kepada syarikat penerbangan. – REUTERS