Ujar peguam mereka pada Jumaat lalu, tindakan tersebut juga sekali gus mengabaikan permintaan Beijing yang mahu kesemua tahanan diserahkan kepada China.

Mengimbau kejadian dramatik November tahun lalu, seramai 25 tahanan etnik tersebut di Thailand telah melarikan diri dengan menggunakan selimut untuk memanjat keluar daripada penjara.

Hanya 11 orang yang berjaya melarikan diri sehingga ke kawasan pedalaman di negara ini melalui perkongsian sempadan Malaysia serta Selatan Thailand.

Namun setelah ditahan, mereka dikenakan pertuduhan serta dakwaan menyusup masuk ke kawasan Malaysia secara haram.

Namun demikian, memetik kenyataan AFP, peguam kesebelas tahanan tersebut, Fahmi Abdul Moin berkata, kumpulan itu telah dibebaskan dan diterbangkan ke Turki.

“Pihak pendakwa juga telah memutuskan untuk menggugurkan segala pertuduhan atas alasan berkenaan isu kemanusiaan.

“Keputusan itu dibuat selepas pihak kami menulis kepada peguam negara Malaysia mendesak agar pertuduhan itu dapat ditarik balik,” ujar Fahmi.

Dalam pada itu, satu faks komen telah dihantar kepada AFP dan ia memberitahu, Kementerian Luar China sedang meneliti laporan itu.

Walau bagaimanapun, China tetap menentang perkara itu kerana ia melibatkan ‘kumpulan yang berimigrasi secara haram’.

“Lagi pun mereka adalah orang Cina dan kami amat bertegas jika mahu menghantar mereka ke negara ketiga.

“Kami berharap kerajaan Malaysia dapat memahami perkara ini kerana ia melibatkan kedudukan serta kebimbangan negara China,” ujar kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE