Remaja berusia 19 tahun yang sedang mengikuti pengajian pe­ringkat A-level itu akan memikul tugas tersebut dengan tumpuan khas kepada usaha meningkatkan tahap pendidikan golongan kanak-kanak perempuan.

Menurut portal berita BBC, Malala dipilih kerana keberaniannya yang cukup lantang dalam memperjuangkan hak pendidikan dalam kalangan wanita, terutamanya di kawasan tempat tinggalnya di Lembah Swat yang menjadi pusat aktiviti militan Taliban di utara Pakistan.

Ketika menerima penghormatan itu, Malala turut menyeru penduduk dan pemimpin dunia untuk bekerjasama bagi menangani isu sekatan ke atas pendidikan terhadap golongan kanak-kanak perempuan di kebanyakan negara miskin.

“Usaha untuk membawa perubahan perlu bermula dalam diri kita dan harus dilakukan sekarang. Jika anda ingin melihat masa depan yang lebih cerah, anda memulakan usaha itu sekarang dan jangan hanya menunggu atau mengharapkan orang lain untuk melakukannya,” katanya.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyifatkan pelantikan Malala sebagai simbol tepat untuk menyampaikan mesej paling penting di dunia kini iaitu pendidikan untuk semua.

Malala mula mendapat perhatian masyarakat dunia selepas muncul dalam media antarabangsa, mengutuk tindakan militan Taliban yang mengharamkan pendidikan ke atas wanita di kebanyakan kawasan pergunungan di wilayah utara Pakistan.

Keberaniannya itu ‘memakan diri’ apabila ditembak di leher dan kepala oleh anggota militan tersebut dalam satu cubaan membunuhnya pada 9 Oktober 2012.

Remaja itu yang kini tinggal di Britain bersama keluarganya aktif membantu kanak-kanak perempuan di seluruh dunia menerusi tabung pendidikan yang ditubuhkannya serta terlibat dalam usaha pembukaan dua buah sekolah untuk pelarian Syria di Lebanon.

Malala menyertai barisan Duta Keamanan PBB termasuk pelakon Michael Douglas bagi isu pelucutan senjata; Leonardo DiCaprio untuk perubahan iklim serta pemuzik, Stevie Wonder yang mewakili orang kurang upaya.