Serangan yang disifatkan kerajaan sebagai pencerobohan data peribadi paling serius yang pernah dialami negara ini berlaku ketika republik terbabit menjadikan keselamatan siber sebagai keutamaan tertinggi bagi blok ASEAN dan negara itu sendiri.

Singapura pada tahun ini merupakan pengerusi bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara.

“Siasatan oleh Agensi Keselamatan Siber Si­ngapura (CSA) dan Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (IHiS) mengesahkan bahawa ini adalah serangan siber yang di­sengajakan, disasarkan dan dirancang dengan baik.

“Jenayah ini bukannya kerja penggodam biasa atau kumpulan penjenayah,” kata kenyataan bersama Kementerian Ke­sihatan dan Kementerian Komunikasi dan Penerangan Singapura, hari ini.

Kata kenyataan itu, kira-kira 1.5 juta pesakit yang melawat klinik antara Mei 2015 dan 4 Julai tahun ini berdepan masalah maklumat peribadi bukan perubatan mereka sama ada diceroboh atau disalin.

“Penyerang secara khusus dan berulang kali menyasarkan maklumat peribadi Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan maklumat mengenai ubat yang diambilnya,” kata kenya­taan itu.

Sementara itu, sebuah jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan dan tindakan segera akan diambil untuk mengukuhkan sistem kerajaan menangani serangan siber, kata Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan berasingan.

Bagaimanapun kementerian itu tidak menyediakan butiran tentang entiti atau individu yang mendalangi serangan tersebut.

Hsien Loong dalam kenyataannya di Facebook berkata, beliau tidak tahu apa maklumat yang dicari penyerang itu. – REUTERS