Semuanya kerana badan dunia tersebut berdepan masalah kekurangan pembiayaan dana bantuan.

Perkara itu diakui Pengarah WFP untuk wilayah Palestin, Stephen Kearney yang memaklumkan kira-kira 27,000 penduduk Palestin tidak lagi menerima bantuan tersebut sejak tarikh berkenaan.

Berita menyedihkan itu turut memberi kesan kepada seramai 165,000 lagi penduduk termasuk 110,000 di Gaza apabila bantuan kepada mereka dipotong atau dicatu sebanyak 20 peratus daripada jumlah bantuan sebelum ini.

Portal Arab News melaporkan, langkah itu dibuat selepas kekurangan sumbangan secara beransur-ansur yang diterima WFP sejak hampir empat tahun lalu.

AMERIKA SYARIKAT KURANGKAN BANTUAN

Krisis berkenaan semakin meruncing selepas penyumbang terbesar iaitu Amerika Syarikat (AS) turut bertindak mengurangkan pemberian dana kepada WFP untuk urusan bantuan makanan kepada penduduk Palestin.

Tambah Kearney, pihaknya memerlukan AS$57 juta (RM233.7 juta) bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin dan sedang mencari penyumbang baharu.

Jelas beliau, wujud kebimbangan bahawa pemotongan itu akan menjejaskan ekonomi tempatan kerana penduduk Palestin menggunakan kad bantuan untuk membeli barangan di kedai-kedai.

Pada tahun lalu, WFP memberikan bantuan kepada 250,000 orang di Gaza dan 110,000 di Tebing Barat.

PENDUDUK LAHIR KEKECEWAAN

“Bulan lalu, mereka tidak memperbaharui kad saya (bantuan)”.

Demikian rintihan Maha al-Nawajah yang tinggal di Kampung Yatta berdekatan Hebron, selatan Tebing Barat.

Menurut Maha, dia sebelum ini bergantung kepada kad tersebut untuk membeli barangan keperluan bagi 12 ahli keluarganya.

Tambahnya, kesemua ahli keluarganya menganggur.

“Anak-anak lelaki saya tidak mempunyai kebenaran untuk memasuki Israel dan suami saya dapat masuk ke Israel sekali-sekala serta mendapat sedikit wang tunai,” jelasnya yang nyata sedih dan kecewa dengan berita mengenai pemotongan bantuan oleh WFP.

KADAR PENGANGGURAN MENINGKAT

Kadar pengangguran di Tebing Barat mencapai 18 peratus dan sesetengah penduduk Palestin mencari pekerjaan di Israel dengan harapan untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi.

Namun, permit untuk masuk ke Israel sering kali menjadi halangan dan hanya diberikan kepada sesiapa yang terpilih.

Dengan sekatan demi sekatan, kadar pengangguran di wilayah tersebut dijangka semakin meningkat.

WFP pada bulan lalu melancarkan rayuan bantuan dana dan menerima sumbangan tambahan daripada Kesatuan Eropah (EU) serta Switzerland namun jumlahnya masih sedikit.

Di Semenanjung Gaza, kira-kira 80 peratus daripada dua juta penduduk bergantung sepenuhnya kepada bantuan antarabangsa.

Semenanjung Gaza berada di bawah kepungan Israel sejak lebih sedekad lalu.

PALESTIN TERUS JADI SASARAN

Dalam perkembangan berlainan, seorang lelaki Palestin yang cedera ditembak oleh rejim Zionis ketika pertempuran dan protes di sempadan Gaza pada tiga minggu lalu, dilaporkan meninggal dunia semalam.

Anwar Quday, 33, cedera ditembak di bahagian leher di timur Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 242 penduduk Palestin terbunuh sejak protes dan pertempuran berlaku melibatkan pasukan keselamatan Israel di sekitar sempadan Gaza sejak 30 Mac lalu. – afp/agensi

Untuk tempoh yang sama, dua tentera Israel terbunuh di Gaza.

Bagaimanapun, protes yang dijalankan dilihat sedikit tenang sejak beberapa bulan lalu susulan gencatan senjata tidak formal yang menyaksikan rejim Zionis membenarkan Qatar menghulurkan bantuan kepada Gaza.

Tetapi bantuan dari Doha itu didakwa tidak sampai kepada penduduk minggu lalu, memungkinkan pergolakan semakin meningkat. – AFP/AGENSI