“Proses merekrut pe­kerja Indonesia untuk majikan Malaysia perlu dilakukan oleh agensi yang telah diberikan kuasa oleh Kementerian Buruh (Indonesia) berdasarkan prosedur perjanjian bilateral yang dipersetujui bersama kedua-dua buah negara pada 2006 dan 2011,” kata Hanif se­perti dipetik Portal Jakarta Post.

Hanif berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pentadbir daerah yang didapati menghantar pekerja negara ini ke luar negara secara ha­ram.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia juga berjanji akan menghalang dan mendenda kakita­ngannya yang melanggar perjanjian tersebut.

“Kebanyakan pekerja Indonesia yang be­kerja sebagai pembantu rumah, tukang kebun dan yang terlibat dalam sektor pembinaan serta perladangan dihantar be­kerja tanpa sebarang perlindungan kerana direkrut oleh pentadbir daerah dan agensi yang tidak berlesen, yang menafikan perincian dalam kontrak mereka,” jelas Hanif.

Beliau berkata, rakan sejawatnya dari Malaysia telah menandata­ngani perjanjian ‘dasar pengambilan satu pintu’ yang menetapkan pekerja Indonesia perlu mendapat kontrak kerja yang mewajarkan mereka menerima gaji minimum, cuti pada hujung minggu, cuti tahunan dan jadual waktu kerja.

“Perjanjian ini akan dipantau oleh kementerian berkaitan. De­ngan model rekrut baharu ini tiada lagi wujud pekerja haram kerana kesemua yang dihantar bekerja (di Malaysia) merupakan pekerja yang dilatih oleh agensi yang diiktiraf,” ujarnya.

Katanya, Jokowi dan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mencapai persetujuan untuk meningkatkan usaha bagi melin­dungi pekerja Indonesia.