Menurut portal berita, metro.co.uk, kereta rekaan John Bitmead dan adiknya, Geoff, dari Syarikat Attitude Autos itu boleh dipandu di jalan raya dan sudah dijual di pasaran menerusi eBay pada harga 21,500 pound (RM138,793).

Kereta yang mempunyai dua tingkap iaitu di sisi pemandu dan juga penumpang itu, turut dilengkapi lampu berbentuk kartun di bahagian depan.

Menariknya, kini kereta mainan yang dahulunya hanya dimainkan oleh kanak-kanak itu, kini boleh bergerak dengan menggunakan petrol dan mampu memecut pada kelajuan sehingga 112 kilometer sejam.

Kereta yang telah diilhamkan daripada jenama kereta, Daewoo Matiz itu mengambil masa selama 41 hari untuk disiapkan dengan kos kira-kira 4,000 pound (RM25,822).

Mengakui kereta yang direka dengan tingkap yang luas itu tidak sesuai dengan cuaca di Britain, John bagaimanapun berkata, pengguna tetap akan merasa keseronokan dan keadaan cuaca tidak menjadi penghalang.

John berkata, dia dan adiknya juga menggunakan kereta itu untuk mengumpul dana bagi badan-badan kebajikan di Britain sejak dua tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu, kami telah memandu sejauh 8,000 kilometer menggunakan kereta ini ke banyak majlis amal di seluruh negara. Kereta ini mungkin bukan yang paling laju di dunia, namun ramai orang ingin merakam gambar de­ngannya,” ujar John.