Gadis itu yang tidak dinamakan, meninggal dunia bulan lalu akibat kanser namun dia sempat menghadiri perbicaraan menuntut supaya mayatnya diawet dan dibekukan.

Portal BBC melaporkan, ibu kepada gadis itu berhak melakukan apa sahaja prosedur terhadap mayat anaknya yang telah diterbangkan ke Amerika Syarikat (AS) selepas me­ninggal dunia di London.

Dalam perbicaraan yang berlangsung sebelum kematiannya, gadis itu mahu jasadnya dibekukan menerusi kaedah cryonics de­ngan harapan dia boleh dihidupkan semula pada masa depan.

Difahamkan, kaedah cryo­nics menelan kos sebanyak 37,000 pound (RM201,414) dan jasad remaja perempuan tersebut kini dikenali sebagai ‘Patient 143’.

Butiran kesnya hanya didedahkan semalam.

Remaja itu juga dikatakan sempat melayari internet bagi mendapatkan maklumat tentang kaedah cryonics ketika bulan-bulan terakhir hayatnya.

Dalam wasiatnya, remaja itu menjelaskan kepada hakim bahawa dia mahu hidup lama dan tidak mahu dikebumikan di dalam kubur.

“Saya percaya teknik pembekuan ini memberi peluang kepada saya untuk pulih dan hidup semula walaupun dalam tempoh beratus-ratus tahun lagi,” katanya.

Hakim, Justice Peter Jackson berkata, keputusannya dalam kes itu bukan tentang hak atau ke­salahan kaedah cryonics namun ia adalah tentang pertikaian antara ibu bapa gadis berkenaan yang telah berpisah.

Ketika ini, hanya AS dan Rusia mempunyai kemudahan cryonics yang membolehkan mayat diawet dalam cecair nitrogen pada suhu rendah iaitu kurang -130 darjah Celcius.