Geng 36 merupakan kumpulan penjenayah yang amat dikehendaki kerana terlibat dengan 14 kes jenayah seperti pengedaran dadah dan bunuh.

Itu baru dalam negara, bagaimana pula dengan kumpulan penjenayah terancang di peringkat global?

Mafia Sicily

Dikenali dalam bahasa Inggeris Sicilian Mafia merupakan induk kepada La Cosa Nostra yang selepas itu menular ke Amerika Syarikat (AS). Cosa Nostra yang bermaksud our thing (hal kami) adalah kumpulan penjenayah terancang kerana mempunyai struktur organisasi cukup teratur. Geng jenayah itu diasaskan oleh Salvatore Maranzano setelah bergabung dengan Joseph Masseria selepas Perang Castellammarese pada 1928. Terbaharu, The Telegraph melaporkan pemimpin terakhirnya Settimino Mineo, 80, serta 45 orang ditahan polis pada 4 Disember tahun lalu dalam satu serbuan di Palermo, Itali atas pelbagai kesalahan jenayah.

SETTIMINO MINEO yang mengetuai kumpulan mafia 'Ndrangheta ditahan
SETTIMINO MINEO yang mengetuai kumpulan mafia 'Ndrangheta ditahan bersama 90 ahli lain di Sicily, Itali. - SBS NEWS

‘Ndrangheta

‘Ndrangheta adalah kumpulan yang berasal dari Calabria, Itali. ‘Ndrangheta diasaskan pada hujung abad ke-19 yang kemudian menjadi kumpulan penjenayah paling berkuasa di dunia pada hujung 1990-an dan 2000 dengan jumlah keahlian sebanyak 10,000 orang di seluruh dunia.

Hasil kegiatan jenayahnya bernilai sekurang-kurangnya tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Itali pada 2010.

Baru-baru ini, sebuah portal berita SBS News melaporkan polis Itali telah menahan 90 orang dipercayai ahli ‘Ndrangheta termasuk ketuanya, Settimino Mineo di Sicily.

Solntsevskaya Bratva

Kumpulan ini diasaskan oleh Sergei Mikhailov pada akhir 1980-an di Solntsevo, Moscow dengan merekrut penduduk tempatan yang menganggur dan belia yang agresif.

Solntsevskaya Bratva terlibat dengan penyeludupan dadah dan dipercayai mempunyai hubungan dengan Cosa Nostra serta kartel dadah dari Afrika, Mexico dan AS.

Keuntungan hasil kegiatan jenayahnya mencecah AS$8.5 bilion (RM27.7 bilion) pada 2014. Solntsevskaya Bratva juga didakwa oleh Financial Times mempunyai kaitan dengan beberapa pemimpin politik termasuk Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

D-Company

Dawood Company atau D-Company merupakan sindiket penjenayah terancang diasaskan di India oleh Dawood Ibrahim. Antara jenayah terancang yang dilakukan adalah 12 siri pengeboman di Mumbai pada 1993 serta pembunuhan penerbit muzik Bollywood, Gulshan Kumar.

Camorra

Camorra wujud sejak abad ke-18 lagi di Campania, Itali sekali gus dilihat sebagai kumpulan mafia paling lama bertapak. Sehingga kini keuntungan hasil daripada kegiatan jenayah pernah direkodkan sebanyak AS$4.9 bilion (RM16 bilion) dan masih bergerak aktif. Namun pada 27 November 2018, Antonio Orlando, 60, dipercayai ketua kumpulan Camorra terakhir ditahan di sebuah tempat persembunyian mewah di Mugnano selepas 15 tahun diburu pihak berkuasa Itali.

SALAH seorang anggota kumpulan mafia Sinaloa Cartel, Ovidio Limon
SALAH seorang anggota kumpulan mafia Sinaloa Cartel, Ovidio Limon Sanchez berjaya ditahan pihak berkuasa Mexico pada tahun 2011. - DESERET NEWS

Sinaloa Cartel

Kumpulan mafia ini merupakan kartel dadah terbesar di Mexico yang ditubuhkan pada pertengahan 1980-an di Culiacan, Sinaloa dan pernah mengedar hampir 200 tan kokain dan heroin antara 1990 hingga 2008.

Keuntungan penyeludupan dadah secara haram di Mexico pada 2018 mencecah AS$6.6 bilion (RM27.1 bilion) dan 50 peratus daripadanya disumbang oleh Sinaloa Cartel.

SIMBOL kumpulan Yamaguchi Gumi.
SIMBOL kumpulan Yamaguchi Gumi. 

Yamaguchi Gumi

Yamaguchi Gumi adalah Yakuza terbesar di Jepun diasaskan oleh Harukichi Yamaguchi sebelum Perang Dunia Kedua. Menurut Agensi Polis Kebangsaan Jepun, kegiatan jenayah Yamaguchi Gumi masih lagi aktif, malah keahliannya dilaporkan mencecah 20,400 orang sementara keuntungan sindiket itu pernah direkodkan mencecah AS$6.6 bilion (RM27.1 bilion)

Pada Februari 2018, portal Japan Times melaporkan pihak polis telah menyerbu ibu pejabat Yamaguchi Gumi di Nagoya serta cawangannya di Tokyo dan menahan 30 orang ahli selepas berlaku pengeluaran wang tidak sah daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berjumlah 1.8 bilion Yen (RM185,995) pada 2016.