Pilihan raya itu bagaimanapun gagal menyelesaikan krisis politik terbesar Sepanyol dengan parti prokemerdekaan memperoleh 70 daripada 135 kerusi di Parlimen Catalonia tetapi gagal mendapatkan majoriti undi popular.

“Kotak-kotak undi dan demokrasi sudah ‘bersuara’. Semua orang telah menyuarakan isi hati masing-masing. Apa yang beliau (Rajoy) tunggu lagi untuk menerima keputusan pili­han raya itu?” soal Puigdemont yang kini hidup dalam buangan di Brussels.

Sebelum ini, kerajaan Sepa­nyol menggulingkan Cata­lonia selepas ahli Parlimen meluluskan penggunaan Artikel 155 Perlembagaan yang memboleh­kan Madrid mentadbir Catalonia secara langsung.

Oktober lalu, Rajoy memutuskan untuk membubarkan Parlimen wilayah itu dan memecat Puigdemont serta semua ahli Kabinet Catalonia, selepas tidak sampai sejam warga Catalonia meraikan ‘kemerdekaan’ mereka dalam satu referendum.

Pemimpin pemisah Catalonia itu kemudiannya ‘melarikan diri’ ke Brussels selepas dipecat oleh Rajoy.

Puigdemont berkata, pilihan raya Catalonia telah membuktikan penduduknya matang dari segi demokrasi dan memenangi hak untuk berpisah daripada Sepanyol, menjadi sebuah republik.

Oleh yang demikian, beliau meminta Rajoy untuk memulakan rundingan dengan pe­mimpin pemisah.

Jumaat lalu, Rajoy mengarahkan Parlimen Catalonia dibentuk pada 17 Januari ini, langkah pertama dalam apa yang mungkin menjadi proses untuk membentuk kerajaan.

Namun, masih tidak jelas bagaimana ‘pasukan’ prokemerdekaan akan membentuk kerajaan dengan Puigdemont masih berada di Brussels dan berdepan tindakan undang-undang di Sepanyol kerana menganjurkan referendum berkenaan manakala bekas timbalannya, Oriol Junqueras ditahan di Madrid. – REUTERS