Beliau berkata demikian dalam satu temu bual TV di sini sambil menyatakan campur tangan Pe­rancis bersama dua lagi negara, AS dan Britain sebagai sah dari segi undang-undang.

“Tindakan (serangan) itu adalah sah kerana Syria sepatutnya memusnahkan senjata kimia mereka berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2013,” katanya.

Presiden Perancis itu juga mendakwa serangan ke atas Syria bukan bertujuan mengisytiharkan perang ke atas regim Bashar al-Assad.

Macron, 40, berkata, beliau telah membantu mengubah pe­mikiran Trump mengenai ke­perluan untuk terlibat dalam konflik di Syria.

“Sepuluh hari lalu, Trump memaklumkan bahawa AS perlu keluar dari Syria, namun kami berjaya meyakinkan beliau bahawa negara itu perlu berada ‘lebih lama’ di sana,” kata beliau.

Macron berkata, beliau berjaya meyakinkan Trump supaya meneruskan operasi ketenteraan di Syria bagi memantau keadaan.

Bagaimanapun, White House selepas temu bual tersebut berkata, Trump telah menjelaskan sebelum ini bahawa beliau mahukan tentera AS dibawa keluar secepat mungkin.

Menurut jurucakap White House Sarah Sanders, misi AS di Syria kekal tidak ber­ubah.

Dalam perkemba­ngan berkai­tan, pasukan penyiasat Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) dijangka mengadakan persida­ngan hari ini bagi membincangkan insiden serangan senjata kimia di Syria.

Pasukan penyiasat OPCW tiba di Damsyik pada Sabtu lalu beberapa jam selepas AS dan sekutunya me­lancarkan serangan di Syria.

Sementara itu, Rusia menolak dakwaan bahawa pihaknya menghapuskan bukti di tapak yang disyaki menjadi serangan kimia di Douma, Syria.

Dalam temu bual dengan BBC, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, “Saya boleh memberikan jaminan bahawa Rusia tidak mengganggu tapak serangan kimi a itu.”

Di Hague, Reuters melaporkan Duta AS menyatakan kebimba­ngannya bahawa pasukan tentera Rusia mungkin telah menghapuskan bukti di Douma. – AGENSI