Keputusan yang berdasarkan angka rasmi dan unjuran pe­ngundian itu mengubah land­skap politik Perancis, selain ‘memalukan’ parti Sosialis dan konservatif yang telah bergilir-gilir berkuasa sejak ber­dekad-dekad lamanya sehinggalah pemilihan Macron bulan lalu.

Tiga unjuran pengundian men­jangkakan parti En Marche! (LREM) pimpinan Macron dan sekutunya, Modem, akan memenangi antara 355 sehingga 365 kerusi daripada 577 kerusi bagi dewan rendah iaitu angka yang lebih rendah berbanding jangkaan sebelumnya.

Mereka menjangkakan parti konservatif Republikan dan se­kutu-sekutunya akan membentuk barisan pembangkang terbesar dengan sebanyak 125 sehingga 131 kerusi, manakala parti Sosialis yang berkuasa lima tahun lalu dan rakan sekutunya akan memperoleh 41 sehingga 49 kerusi, iaitu yang terendah sejak tempoh selepas perang dalam sistem pemerintahan semasa perancis.

Walaupun angka rasmi me­nunjukkan terdapat 90 kerusi lagi yang masih belum ditentukan tetapi LREM telahpun menang dengan majoriti besar.

“Ini merupakan peluang buat Perancis kerana setahun lalu tiada siapa yang memba­yangkan akan berlaku pembaharuan politik,’’ kata Perdana Menteri, Edouard Philippe da­lam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, jumlah penduduk yang keluar me­ngundi adalah rendah iaitu kira-kira 42 peratus, situasi yang perlu diteliti oleh Macron di negara yang mempunyai kesatuan perniagaan yang kuat dan juga sejarah bantahan jalanan yang menyaksikan banyak kerajaan lalu terpaksa mengenepikan pe­raturan baharu.

Jurucakap kerajaan, Christophe Castaner berkata, ke­a­daan itu merupakan petanda bahawa pengundi ‘tidak mahu Macron bebas melakukan apa juga yang diinginkan’.

Ketua Parti Sosialis, Jean-Christophe Cambadelis pula mengumumkan pengundurannya sambil menyatakan kejatuhan parti berkenaan kini tidak boleh diragukan dan ia perlu dibina semula bermula dari bawah.– Reuters