Dalam persekitaran yang menyeramkan, gelap dan dipenuhi dedaun pada lantai hutan, kawasan itu terletak di bawah bayangan Gunung Fuji iaitu gunung tertinggi di Jepun.

Disebabkan jumlah kes bunuh diri di hutan itu yang tinggi, maka hutan itu terkenal dengan nama ‘hutan bunuh diri’ (suicide forest). Terbentang luas, ketebalan pokok dan dedauan membuatkan hutan itu turut dikenali dengan nama ‘lautan pokok’ (sea of trees).

Sebagai lokasi paling terkenal sebagai tempat membunuh diri, hutan Aokigahara dianggap sebagai tempat paling sempurna untuk mengambil nyawa sendiri. Sejarah hutan itu agak menyeramkan kerana dianggap sebagai tempat tinggal ‘yurei’ iaitu sejumlah hantu dalam mitologi Jepun.

Disebabkan itu, hutan tersebut menjadi pilihan penerbit Hollywood untuk penggambaran filem seram bertajuk The Forest.

Rekod polis menunjukkan sebanyak 247 individu cuba membunuh diri pada 2010 dengan 54 daripada mereka berjaya melakukannya. Memandangkan kes membunuh diri semakin meningkat di hutan itu sejak kebelakangan ini, papan tanda melarang perbuatan membunuh diri telah dipacak di penghujung beberapa denai di hutan tersebut.

Turut dipaparkan pada papan tanda itu adalah nasihat kepada orang ramai supaya memikirkan tentang keluarga dan menggalakkan mereka mendapatkan rawatan kaunseling di persatuan mencegah perbuatan membunuh diri.

Bagaimanapun dikatakan fakta dan angka kes bunuh diri di hutan tersebut tidak begitu tepat dan menyimpang daripada statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis kerana persekitaran hutan yang terlalu tebal. Keadaan itu menyebabkan banyak mayat hilang dan gagal ditemukan selama beberapa tahun atau langsung tidak ditemui.

Menurut anggaran kasar, sekurang-kurangnya 100 orang dilaporkan membunuh diri setiap tahun di hutan itu.

Dalam pada itu, penduduk tempatan sekitar kawasan hutan itu kesal kerana persekitaran alam semula jadi yang mereka kagumi itu lebih dikenali sebagai lokasi ‘panas’ membunuh diri yang popular di dunia.

Sungguhpun begitu, pelancong masih boleh menikmati pemandangan indah Gunung Fuji, dataran tinggi lava, pokok berusia 300 tahun dan meneroka gua ais Narusawa.

Di sebalik itu, hutan tersebut tidak sesuai untuk aktiviti berjalan santai kerana persekitaran pokok dan belukar yang tebal menjadi tempat tinggal ular berbisa yang merayap di lantai hutan, sekali gus menjadi ancaman kepada pengunjung.

Selain itu, hutan Aokigahara yang terletak di kaki gunung memiliki landskap berbatu dan dipenuhi dengan ratusan gua. Namun, apa yang lebih menakutkan adalah seseorang akan merasakan dirinya terasing ekoran persekitaran yang menyeramkan.

Jarak pokok yang rapat antara satu sama lain dan hutan tebal menyebabkan tiupan angin tidak terasa.

Pada tahun 1960, seorang penulis, Seicho Matsumoto menerbitkan novel bertajuk Kuroi Jukai yang mengisahkan seorang kekasih patah hati lari masuk ke hutan Aokigahara untuk memencilkan diri dan kemudian bertindak membunuh diri. Kisah itu menjadi simbol yang teruk dalam mempengaruhi budaya Jepun.

Sementara itu, buku bertajuk The Complete Manual of Suicide oleh Wataru Tsurumi menegaskan hutan Aokigahara adalah satu tempat yang paling tepat untuk membunuh diri. Siasatan polis mendapati pihaknya menemukan banyak buku tersebut bersama harta benda individu yang telah membunuh diri. Ini bermakna, buku tersebut menjadi rujukan kepada individu yang mahu membunuh diri.

Dalam pada itu, wujud tradisi meninggalkan wanita tua di dalam hutan Aokigahara. Anak-anak akan mengendong ibu mereka yang telah tua masuk ke dalam hutan itu dan meninggalkan mereka tanpa dibekalkan makanan, selimut dan akhirnya dibiarkan mati begitu sahaja.

Kematian warga emas itu bukan disebabkan oleh persekitaran hutan sebaliknya kebuluran, dehidrasi dan terdedah pada cuaca sejuk.

Segelintir pihak berhujah bahawa kisah itu tidak benar dan sekadar cerita rakyat yang diwarisi anak cucu sehingga hari ini. Dalam banyak perkara, kisah menakutkan mengenai hutan tersebut adalah sebahagian daripada mitos sejak sekian lama. – Japantimes