Menurut polis Perancis sebagaimana lapor BBC, mereka menemukan sebuah beg yang dijatuhkan oleh seorang daripada lima penjenayah itu selepas merompak sebuah ruang pameran di Hotel Ritz.

Sebanyak tiga lelaki di­tahan berhubung rompakan tersebut ketika dua lagi masih bebas.

“Saya boleh mengesah­kan kesemua barang kemas yang dicuri ditemukan dalam sebuah beg yang dijumpai pegawai polis,” kata seorang sumber yang rapat dengan siasatan kes tersebut.

Perompak itu bersenjatakan kapak kecil semasa melakukan rompakan di tingkat bawah hotel ber­kenaan kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan.

Akhbar Le Parisien yang memetik seorang sumber polis melaporkan, rompakan itu terjejas apabila seorang anggota polis yang melakukan rondaan berada di lokasi kejadian.

Sebanyak tiga perom­pak ditahan selepas di­ke­pung di dalam bangunan itu manakala dua orang lagi yang menunggu di luar hotel melarikan diri dengan sebuah kereta dan skuter.

Menurut sumber, beg yang mengandungi barang kemas itu terjatuh dari motosikal yang digunakan penjenayah selepas dia berlanggar dengan seorang pejalan kaki.

Sementara itu, kereta yang digunakan dalam rompakan itu ditemukan di Sannois, utara Paris.