Perkhidmatan Taman Negara dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, monumen yang menarik 600,000 pengunjung setahun itu akan ditutup sehingga sistem kawalan lif dapat diperbaiki.

Bagaimanapun, tarikh permulaan kerja baik pulih itu masih belum dapat ditetapkan ketika pro­ses berkenaan dijangka mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan.

Satu-satunya lif yang membawa pelawat ke bahagian atas menara setinggi 169 meter itu ke­rap rosak sejak dua tahun lalu.

Masalah itu timbul selepas gempa bumi pada 2011 merosakkan lif berkenaan.

“Pihak pengurusan masih tidak dapat mengenal pasti kerosakan pada lif itu,” jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, seorang pe­mimpin Parti Demokrat yang mewakili District of Columbia di Dewan Kongres, Eleanor Holmes Norton berkata, monumen tersebut sepatutnya terus dibuka ke­rana tidak mendatangkan bahaya dan orang ramai sudah biasa de­ngan penutupan tersebut.

Kebanyakan pelancong yang berhasrat memasuki monumen itu semalam terkejut apabila mendapati menara tersebut ditutup.

“Pengunjung datang dari seluruh pelosok dunia untuk melihatnya dan saya percaya mereka akan terkejut dan kecewa dengan penutupan itu,” kata seorang pelawat, Morgan Edwards dari California. – AGENSI