Lapor Mail Online, jaket ber­kenaan menggunakan fabrik berteknologi tinggi untuk bertindak sebagai penghubung kepada telefon pintar.

Dengan hanya menyentuh bahagian lengan pada jaket tersebut, pemakai boleh memberhentikan atau melangkau susunan lagu serta dapat menggunakan aplikasi Google Maps tanpa perlu mengeluarkan telefon pintar da­ripada poket.

Diumumkan pada Mac lalu, jaket terbabit dijual di beberapa premis terpilih di Amerika Syarikat (AS) esok sebelum dipasarkan melalui laman web rasmi Levi’s minggu depan.

Menerusi pengumuman yang dilakukan ketika pesta SXSW di Austin, Texas awal tahun ini, jaket itu dianggarkan bernilai sekitar AS$350 (RM1,472).

Jaket yang dikenali sebagai Commuter Trucker Jacket itu direka untuk mereka yang se­ring bergerak ke mana-mana dan tidak mempunyai masa melihat telefon pintar atau jam.

Selain itu, jaket tersebut dilengkapi butang yang menghubungkan benang dalam poket jaket ke peranti pintar.

Kemudiannya, sistem itu akan menghantar data secara wayarles ke telefon pintar atau peranti lain, membolehkan pengguna menggunakan fungsi seperti panggilan telefon dan menghantar mesej dengan hanya menyentuh fabrik pada jaket tersebut.