Abu dan asap gunung berapi naik setinggi 3,657 meter di atas kawah dan terapung di ruang udara barat daya Hawaii, menghujani kenderaan di Highway 11 dengan debu perang.

Sementara itu masyarakat Pahala yang tinggal 29 kilome­ter dari puncak gunung berapi itu diberi amaran bahawa udara kawasan sekitar mereka berada pada tahap tidak sihat.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengeluarkan kenyataan dalam laman webnya, bahawa tanda amaran merah kepada penerbangan bermakna ledakan gunung berapi boleh menghamburkan abu di sepanjang laluan pesawat.

John Bravender daripada Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) berkata, abu juga merupakan ancaman baharu bagi penduduk Big Island, Hawaii.

Mereka sebelum ini terjejas akibat dilanda gas dan lava gunung berapi yang memusnahkan 37 kediaman dan beberapa struktur lain serta menyebabkan kira-kira 2,000 penduduk terpaksa berpindah.

“Peralihan angin dijangka mem­bawa abu dan asap ke bahagian pedalaman hari ini dan kepekatannya menjadi lebih teruk,” katanya

Dalam pada itu, Timbalan Saintis Pencerapan Gunung Berapi Hawaii (HVO), Steve Brantley dalam satu panggilan persida­ngan berkata, pelepasan abu berlaku berterusan sekarang serta berselang-seli dengan muntahan abu secara dahsyat.

Pencerap memberi amaran bahawa letusan diramal menjadi lebih ganas.

“Pada bila-bila masa, gunung berapi boleh meletup, mening­katkan pengeluaran abu dan menghasilkan letupan di dalam lohong gunung berapi,” kata HVO dalam satu kenyataan berikutan perubahan tahap amaran penerbangan daripada jingga kepada merah. – REUTERS