Itulah yang dilakukan oleh Kimberly Santleben, 43, selepas bercerai dengan suaminya pada Jumaat lalu setelah mendirikan rumah tangga selama 14 tahun dan tinggal di Medina County.

Menurut Kimberly, dia yang enggan mendedahkan nama suaminya tidak mahu menyimpan sebarang kenangan sepanjang usia perkahwinan mereka.

Malah katanya lagi, majlis perkahwinan yang diadakan seperti memakai gaun pengantin, menyarung cincin dan sebagainya adalah satu penipuan.

“Saya mahu bakar semua barangan yang boleh mengingatkan tentang perkahwinan kami.

“Untuk itu, saya adakan parti sempena perceraian kami.

“Ramai rakan-rakan, saudara-mara dan ahli keluarga menasihatkan saya supaya menjual barangan itu atau mendermakannya kepada sesiapa yang memerlukan.

“Tetapi saya mahu bakar. Malah gaun pengantin yang dipakai pada majlis 14 tahun lalu pun saya letupkan sehingga boleh didengari sejauh kira-kira 24 kilometer,” katanya kepada portal Fort Worth Star.

Parti yang diadakan dekat sebuah ladang milik bapanya di Lacoste pada malam hujung minggu lalu dihadiri rakan-rakan terdekat serta ahli keluarganya.

Tambahnya, dia tidak menyangka letupan itu terlalu kuat sehingga menerima mesej daripada jiran-jirannya bertanyakan tentang bunyi kuat yang didengari mereka.

“Tak sangka bunyi letupan itu sungguh dahsyat.

“Malah pancaran apinya macam aksi dalam filem. Saya berasa puas hati dapat meletupkan gaun pengantin. Saya mahu semua orang tahu perkahwinan diraikan dengan memakai gaun yang cantik dan diserikan dengan bunga itu semua adalah satu penipuan,” luahnya. – FORTH WORTH STAR