Kejadian berlaku pagi ini di Terminal Bas Port Authority berhampiran Times Square.

Beberapa orang dilaporkan cede­ra manakala pihak polis dilaporkan menahan seorang suspek yang dikatakan memakai sejenis alat berwayar pada badannya.

Jabatan Bomba bergegas ke tempat kejadian di 42nd Street dan 8th Avenue manakala beberapa terminal laluan kereta api bawah tanah dikosongkan.

Jabatan Polis New York (NYPD) melalui Twitter miliknya memaklumkan, pihaknya bergegas ke tempat kejadian namun setakat ini maklumat lanjut belum diperoleh.

Dalam pada itu portal BBC mela­porkan, perkhidmatan kereta api bawah tanah dan laluan melalui stesen bawah tanah Times Square ditutup untuk siasatan.

Laporan berita ABC pula memetik sumber polis sebagai berkata, kemungkinan bom paip telah dile­tupkan di laluan bawah tanah terminal berkenaan.

Seorang saksi, Francisco Rami­rez berkata, dia terdengar dua letupan ketika turun dari bas pada pukul 7.45 pagi.

“Daripada apa yang saya de­ngar, letupan itu dari arah bawah tanah. Letupan itu amat menakutkan dan menimbulkan keadaan huru-hara,” katanya.

Seorang lagi saksi, Diego Fernandez memberitahu, kejadian itu menyebabkan orang ramai bersesak-sesak untuk keluar daripada terminal bas berkenaan.

“Semua dalam ketakutan dan lari menyelamatkan diri,” jelasnya.

Sementara itu, Datuk Bandar New York City, Bill de Blasio dan Presiden Donald Trump telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Terminal Bas Port Authority merupakan terminal yang terbesar di Amerika Syarikat (AS) dan memberi perkhidmatan kepada lebih 65 juta pengguna setiap tahun. – REUTERS/AGENSI