Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus berkata, kejadian itu kira-kira pukul 6.15 petang waktu tempatan (12.31 pagi waktu Malaysia) menyaksikan letupan tersebut mengenai satu kenderaan konvoi tentera Turki namun pihak yang bertanggungjawab terhadap letupan itu masih belum dikenal pasti.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berikrar untuk bertindak balas terhadap dalang serangan berkenaan ketika Turki kini berhadapan dengan rangkaian serangan berani mati yang didakwa dilakukan oleh puak pemberontak Kurdis dan kumpulan yang mengaku pejuang jihad.

Beliau yang tidak memperincikan bentuk tindak balas itu berkata, Turki akan menggunakan hak untuk mempertahankan diri pada bila-bila masa, tempat dan keadaan.

“Kami tidak akan berundur daripada hak kami untuk menentang semua pertubuhan keganasan,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Bom kereta itu meletup ketika satu konvoi bas tentera yang membawa berpuluh-puluh anggota tentera berhenti di sebuah lampu isyarat di tengah bandar Ankara sekali gus mencetuskan panik dan huru hara.

“Serangan ini jelas menyasarkan maruah negara dan dilakukan dengan cara yang dahsyat, keji, memalukan, khianat, tersembunyi dan berbahaya,’’ kata Kurtulmus.

Berikutan kejadian itu, Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu terpaksa membatalkan perjalanan ke Brussel untuk membincangkan krisis kebanjiran pelarian ke Eropah manakala Erdogan membatalkan perjalanan ke Azerbaijan.

Davutoglu dan Erdogan mendakwa, serangan tersebut didalangi oleh Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dengan kerjasama Unit Perlindungan Rak-yat Kurdis.

Ankara kini dalam keadaan berjaga-jaga selepas seramai 103 orang terbunuh apabila dua pengebom berani mati meletupkan diri mereka semasa perhimpunan aman aktivis, 10 Oktober lalu.

Dalam pada itu, akhbar prokerajaan, Yeni Safak me-laporkan telah mengenal pasti pengebom yang terlibat dalam kejadian tersebut iaitu seorang rakyat Syria yang dikenali sebagai Salih Necar.

Akhbar tersebut yang tidak menjelaskan sumber laporan itu memberitahu, lelaki itu dikenal pasti melalui cap jari dan dipercayai memasuki Turki bersama-sama pelarian dari Syria.

Menurut laporan akhbar itu lagi, pihak polis dapat mengecam pengebom itu setelah mengenal pasti cap jari yang diambil semasa lelaki memasuki negara ini.

Walau bagaimanapun sehingga kini masih belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.– AFP