Mail Online melaporkan, lembu yang diberi nama Knickers oleh pemiliknya, Geoff Pearson itu mempunyai berat 1,400 kilogram, menjadikan haiwan berkenaan sukar untuk dieksport kerana saiznya disifatkan terlalu besar.

Kncikers juga mempunyai ketinggian 194 sentimeter atau bersamaan dengan tinggi bintang bola keranjang NBA, Michael Jordan.

Biarpun tidak boleh dieksport, Kncikers masih memainkan penting kepada tuannya.

Ini kerana, lembu-lembu ternakan Pearson sering tertarik dengan saiz Knickers yang besar dan keadaan itu secara tidak langsung memudahkan penternak berkenaan mengesan kedudukan kawanan lembunya ketika haiwan tersebut keluar meragut rumput.

“Setiap kali Knickers bangun dan mula berjalan, ratusan lembu lain akan mengikutnya dan secara tidak langsung, kami boleh mengesan pergerakan kawanan tersebut,” jelas Pearson.

Mengikut Guinness World Record, lembu terbesar di dunia seberat 2,267 kilogram manakala lembu tertinggi pula berukuran lebih dua meter.

Sementara itu, seorang pakar lembu tenusu, Rupert Mothersole berkata, terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada tumbesaran lembu termasuk pemilihan genetik untuk pembiakan.

Jelasnya, jika seekor lembu dimandulkan pada usia muda, maka keadaan itu memberi peluang kepada haiwan berkenaan untuk membesar secara luar biasa seperti Knickers.

Purata saiz lembu biasa adalah seberat 630 kilogram dengan purata saiznya meningkat sehingga 18 peratus dalam tempoh dua dekad lalu. – AGENSI