Seorang wanita, Lele Tao, 24, digelar ‘dewi dalam talian’, memperoleh pendapatan AS$450,000 (RM1.9 juta setahun) hasil kerja­ya­nya sebagai penghibur secara live streaming.

Portal BBC yang me­nyiarkan dokumentari khas wanita itu dalam tiga episod melaporkan, Lele meraih pendapatan melalui hadiah dan bayaran dibuat secara maya oleh berjuta-juta peminatnya yang majoritinya kaum lelaki.

Dia dan berpuluh-puluh lagi wanita menceburi kerjaya tersebut dengan diuruskan oleh agensi tertentu seperti agensi MJ di sini yang menyediakan studio khas untuk mereka.

Lele bekerja dalam sebuah studio kecil dilengkapi pelbagai peralatan seperti kamera web untuknya melayani peminatnya sama ada me­nyanyi untuk mereka atau bersama-sama menyanyi, bermain permainan komputer atau sekadar makan bersama secara maya.

Selain itu, mereka turut mengadakan persembahan seperti menari atau menjual produk tanpa sama sekali melibatkan perbuatan tidak bermoral seperti berbogel atau sembang lucah.

Berasal dari Chengdu, Lele mula menceburi bidang live streaming semasa berusia 18 tahun.

“Ketika itu saya tidak tahu apa live streaming tetapi saya sering menyanyi untuk kawan-kawan saya menerusi komputer riba semasa menemani bapa saya bekerja di kawasan pembinaan,’’ katanya.

Sebulan selepas itu, Lele mendapat panggilan dari bank yang mengatakan dia menerima bayaran hasil daripada persembahan tersebut.

“Saya masih ingat lagi pada bulan pertama saya menerima AS$2,800 (RM12,012) hasil live streaming selama 15 hari dan jumlah itu memang sangat banyak untuk saya,’’ katanya.

Bapanya, Jiang Wang Bi dan ibu­nya, Wang Junfen, pada awal­nya tidak mempercayai anaknya memperoleh wang hanya menyanyi di hadapan komputer.

“Saya tanya bagaimana Lele boleh memperoleh wang sebanyak itu untuk se­hari sedangkan jumlah itu sama gaji saya sebulan tetapi selepas melihat akaun bank dia barulah kami percaya,’’ kata Wang Bi.

Kini Lele yang be­kerja dengan agensi MJ memperoleh pendapatan yang dibayar secara maya sebanyak AS$37,000 sebulan (RM158,733) tetapi me­ngakui dia berada dalam tekanan.

Kerjayanya kini mendapat perhatian ramai wanita sekali gus mewujud persaingan sehingga menyebabkan Lele terpaksa bekerja keras.

Melalui agensi tersebut, Lele dan rakan sekerjanya akan diberi latihan menari atau muzik setiap hari.

Kata Lele, para peminatnya kini sering membandingkannya dengan wa­­nita lain menyebabkan dia perlu mengikuti perkembangan semasa dan tidak berhenti belajar.