Pegawai Rusia berkata, Albert Yepremyan, 25, meninggal dunia akibat terkena gear pendaratan pesawat Boeing 737 yang berlepas dari Moscow ke Athens di Lapangan Terbang Sheremetyevo, malam kelmarin.

Lelaki itu ditemukan selepas kru pesawat itu memaklumkan kawalan trafik udara agar menyiasat insiden itu, selepas dipercayai melanggar ‘binatang’ di landasan terbang dalam ke­adaan gelap.

Yepremyan difahamkan dalam proses diusir dari Sepanyol, pada mulanya ditempatkan dalam pe­nerbangan dari Madrid ke Moscow.

Dia kemudian dipindahkan mengikuti penerbangan ke Yerevan, ibu negara Armenia, tetapi melarikan diri ke landasan terbang ketika beratur menaiki bas untuk ke pesawat.

“Lelaki itu melalui pintu masuk lapangan terbang semasa menaiki penerbangan Moscow-Yerevan, bergerak ke arah bas, tetapi de­ngan cepat menuju ke landasan bukannya masuk ke dalam bas.

“Ketika dalam perjalanan ke Madrid, Yepremyan mencetuskan pergaduhan. Selepas mendarat, polis dipanggil naik ke dalam pesawat dan menahannya,” kata pegawai Sheremetyevo yang tidak didedahkan identi­tinya kepada agensi berita, Rusia Interfax.

Pesawat yang terlibat dalam kejadian itu difahamkan telah mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens pada malam itu.

Kru di lapangan terbang mengesan kerosakan pada badan pesawat dan cebisan tubuh manusia di bahagian luar kapal terbang berkenaan.

Dalam satu kenyataan, badan penyiasatan persekutuan utama Rusia, Sledkom, berkata, pihak­nya telah membuka kes jenayah atas kematian Yepremyan.

Organisasi itu berkata, pihak­nya akan memastikan sama ada insiden tersebut melanggar peraturan keselamatan perjalanan udara.

“Selepas menjalani prosedur daftar masuk untuk penerba­ngan, lelaki itu berkumpul de­ngan penumpang lain dan meneruskan prosedur untuk masuk ke dalam pesawat.

“Selepas itu, dalam keadaan yang tidak dipastikan, lelaki itu mahu menaiki bas pengangkut, menuju ke landasan lapangan terbang.

“Kemudian, lelaki itu menuju ke landasan nombor dua dalam laluan pesawat alfa, di mana dia maut akibat cedera parah dilanggar pesawat Boeing 737 yang sedang meningkatkan kelajuan,” kata Sledkom.