Mail Online melaporkan, Mejar Nana Kofi Twumasi-Ankrah yang dilahirkan di Ghana merupakan veteran tentera yang pernah berkhidmat di Afghanistan serta pegawai di Rejimen Household Cavalry.

Beliau dijangka mengambil alih tugas itu daripada Komander Sam Fletcher berkuat kuasa tahun ini.

Sebelum ini, Twumasi-Ankrah pernah bertugas sebagai pegawai pengiring perkahwi­nan Putera William dan Cathe­rine Middleton pada 2011 serta mengetuai perbarisan ulang tahun kelahiran Ratu Elizabeth II.

Berikutan keputusan Putera Philip, suami kepada Ratu Elizabeth yang mahu berundur daripada semua upacara rasmi kerajaan pada tahun ini kerana sudah ber­usia 95 dan mahu berehat, Twumasi-Ankrah bakal menjadi pegawai istana yang paling berpengaruh dalam mengendalikan kesemua upacara rasmi kerajaan Britain.

Twumasi-Ankrah, 38, mem­be­ritahu The Sunday Times, ketika zaman kanak-kanak, beliau melihat warna kulitnya sebagai satu daya tarikan.

“Saya tidak pernah terfikir akan mengetuai rejimen yang saya pernah ‘jatuh cinta’ satu ketika dulu,” katanya.

Beliau berkata, kini orang ramai boleh melihat percampuran budaya di United Kingdom dan contoh yang terbaik adalah dirinya sendiri.

Sebagai pegawai tertinggi istana, Twumasi-Ankrah bertanggungjawab untuk mengendalikan kesemua upacara rasmi istana termasuk membantu Ratu Elizabeth II dalam tugas amnya, mengendalikan kuda rasmi is­ta­na dan protokol istana.