Sebuah video amatur menunjukkan seorang pegawai polis sedang menggari tangan kedua-dua lelaki berkenaan yang didakwa menceroboh oleh staf premis perniagaan berkenaan.

Rakaman tersebut yang dikongsi secara meluas selepas dimuat naik di laman sosial Twitter sehingga membawa kepada tuduhan perkauman terhadap Starbucks.

Ketua Eksekutif Starbucks, Kevin Johnson berkata, rakaman video tersebut adalah sesuatu yang ‘sukar untuk ditonton’ dan tindakan diambil adalah ‘salah’.

Dalam insiden yang berlaku pada petang Khamis lalu, kedua-dua lelaki berkenaan diminta meninggalkan premis perniagaan tersebut oleh pengurus kedai selepas mereka meminta untuk menggunakan tandas tanpa membuat sebarang pembelian, kata pegawai polis.

Kedua-dua lelaki berkenaan enggan beredar dan memberikan alasan bahawa mereka sedang menunggu seorang rakan.

Pesuruhjaya Polis Philadelphia, Richard Ross berkata, pegawainya berhak melakukan penahanan itu selepas mendapat aduan yang mendakwa mereka menimbulkan kekecohan dan menceroboh.

“Jika sesebuah premis perniagaan membuat aduan mengenai individu yang tidak dikehendaki berada di kawasan mereka, mereka (pegawai polis) mempunyai undang-undang yang sah untuk menjalankan tugas,” kata Ross.

Dalam satu kenyataan Sabtu lalu, Johnson menyatakan ‘permohonan maaf’ kepada kedua-dua lelaki berkenaan dan turut berkata, Starbucks sanggup melakukan apa sahaja untuk membetulkan keadaan.

Rakaman insiden berkenaan yang menerima hampir sembilan juta tontonan setakat ini, telah mencetuskan kritikan orang ramai dan cadangan untuk memboikot syarikat minuman kopi tersebut.

Ahad lalu, orang ramai berkumpul di luar premis perniagaan tersebut sebagai tanda bantahan.