Winston Blackmore dan James Marion Oler yang mem­punyai lima isteri dihukum penjara lima tahun selepas didapati bersalah di bawah undang-undang poligami negara.

Tiga Pendakwa Raya Khas te­lah dilantik sejak dua dekad lalu bagi mempertimbangkan untuk mendakwa kedua-dua tertuduh namun mereka menarik diri berikutan kebimbangan undang-undang yang mengharamkan poli­gami mencabul hak perlembagaan bagi kebebasan beragama.

Namun kebimbangan itu berjaya diredakan pada tahun 2011 selepas Mahkamah Agung British Columbia merujuk kes tentang bahaya amalan poligami sedia ada yang membenarkan had kebebasan ber­agama sekali gus memberi laluan kepada pihak pendakwaan untuk mendakwa Blackmore dan Oler, tiga tahun kemudian.

Hakim Mahkamah Agung Bri­tish Columbia, Sheri Ann Donegan semasa membuat keputusan itu berkata, tertuduh, Blackmore tidak menafikan telah berpoligami.

“Kesetiaannya terhadap amalan dan kepercayaan Fundamentalist Church of Jesus Christ of Latter Day Saints (FLDS) tidak boleh dipertikaikan,” ujar beliau.

Kedua-dua lelaki itu merupakan orang kanan FLDS, iaitu fahaman agama yang membolehkan amalan berpoligami dan juga fahaman yang telah berpecah daripada Jesus Christ of Latter-Day Saints, juga dikenali sebagai Mormon Church.

Fahaman itu telah diasaskan sejak 60 tahun lalu dan diamalkan oleh penduduk di kawasan terpencil dan daerah pergunungan di British Columbia yang terletak berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS).

Masyarakat di kawasan tersebut mengamalkan sistem ekonomi barter selain memperoleh makanan dengan bercucuk tanam dan berburu. – AFP