Mail Online melaporkan, lelaki tersebut, Stephen Lanzo menyaman syarikat Johnson and Johnson dan salah satu pembekalnya selepas dia disah­kan menghidap kanser meso­telioma pada 2016, berpunca daripada produk bedak talkum digunakan olehnya selama le­bih 30 tahun.

Saman berkenaan dikemukakan oleh Lanzo serta isterinya, Kendra dan mereka berkata syarikat terbabit mengetahui produk itu mengandungi bahan asbestos yang boleh menyebabkan kanser namun tidak memaklumkan mengenainya ke­pada pengguna.

Juri mahkamah kemudian mengarahkan syarikat tersebut membayar ganti rugi kepada Lanzo sebanyak AS$30 juta (RM115 juta) dan isterinya berjumlah AS$7 juta (RM27 juta).

Menurut Lanzo, dia berkemungkinan terdedah kepada asbestos setiap kali ketika menggunakan produk syarikat itu termasuklah Shower to Shower dan Baby Powder.

Peguam kepada Lanzo me­nya­takan syarikat terbabit tidak mendedahkan maklumat kesihatan kepada umum dan risiko penggunaan produknya sejak 1960-an.

Bukti utama yang didedahkan di mahkamah ialah seke­ping memo pada tahun 1969, di mana saintis secara spesifik menyebut mengenai pencemaran asbestos dalam talc yang digunakan pada bedak talkum syarikat itu.

Bedak talkum di­perbuat daripada talc, mineral lembut yang terdapat di kawasan yang berdekatan tempat terletaknya asbestos.

Kajian sebelum ini me­nunjukkan bahawa berlakunya risiko pencemaran silang ketika perlombongan dijalankan.

Namun, Johnson and Johson berkata, mereka telah menjalankan kajian menyeluruh bagi memastikan tiada produk bedak talkum mempunyai asbestos.