Katrina Sunil Purswami yang bekerja di kedai Seres di pasar subbandar, Bandra West telah diberitahu oleh lelaki berkenaan pada Rabu lalu bahawa dia mahukan permata untuk dijadikan hadiah dan memintanya supaya membawanya ke hotel berhampiran.

“Apabila pekerja terbabit tiba di hotel, lelaki terbabit berkelakuan seperti permata itu miliknya,” kata polis inspektor Prakash George yang dipetik oleh Daily News dan akhbar Analysis hari ini.

Menurut Prakash, ketika Purswami menunjukkan set barang kemas terbabit, dia meminta supaya Purswami menuliskan butiran berkenaan set tersebut.

Dia kemudiannya memukau pekerja terbabit dan melarikan diri bersama perhiasan tersebut.

“Purswami ditinggalkan dalam keadaan keliru dan tidak mengetahui apa yang sedang terjadi. Kedai barangan kemas berkenaan baru dibuka dan pemiliknya membenarkan pekerjanya untuk pergi ke hotel bersama berlian tersebut kerana menjangka akan memperolehi jualan besar,” jelas Prakash.

Polis sedang meneliti CCTV dari hotel dan cuba mengenal pasti pencuri terbabit, bagaimanapun kamera di kedai terbabit tidak berfungsi. – AFP