BBC memetik kenyataan Per­khidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS), lelaki itu menghampiri pagar White House di Pennsylvania Avenue sejurus sebelum tengah hari waktu tempatan dan seterusnya mengeluarkan sepucuk pistol dan me­lepaskan beberapa das tembakan.

Bagaimanapun, menurut polis, tiada yang tercedera.

Ketika kejadian itu, Presiden AS, Donald Trump tidak berada di bangunan tersebut tetapi di kediaman mewah Mar-a-Lago di Florida.

Sementara itu, Washington Post memetik kenyataan saksi melaporkan, lelaki tersebut berada dalam kalangan orang ramai ketika melepaskan tembakan.

Sebuah video yang dimuat naik ke laman Twitter menyaksikan orang ramai melarikan diri dari lokasi kejadian.

Nama lelaki berkenaan masih belum didedahkan.

Polis Washington menerusi akaun twitter memaklumkan sekumpulan pasukan keselamatan bergegas ke tempat kejadian.

Sejumlah insiden membabitkan keselamatan berlaku di White House sejak kebelaka­ngan ini.

Terbaharu, pada 23 Februa­ri lalu, sebuah kereta dipandu menghentam penghalang kese­lamatan di luar bangunan berke­naan mengakibatkan seorang wanita berusia 35 tahun ditahan.

Pada bulan Mac tahun lalu, seorang lelaki bersenjatakan semburan lada berada di halaman White House melebihi 16 minit selepas melompat pagar bangunan tersebut.