NEIL HARBISSON

Neil Harbisson mendakwa gam­­bar pasport Britain miliknya menampakkan antena di kepalanya itu yang bermaksud kerajaan Bri­tain menerima bahawa peranti itu adalah sebahagian daripada dirinya, sekali gus mengiktirafnya sebagai cyborg.

Menurut portal berita Mail Online, Harbisson membuat kenya­taan demikian kepada wartawan pada Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.

Lelaki berkenaan mempunyai antena yang ditanam di kepala­nya pada 2004 bagi membantunya melihat warna.

Dia sebelum ini mengalami ma­salah akromatopsia yang menyebabkan dia hanya mampu melihat keadaan sekeliling de­ngan latar hitam dan putih sahaja.

Harbisson turut memberi amaran bahawa kerajaan di seluruh negara perlu menerima kenyataan bahawa tidak lama lagi akan wujud lebih ramai manusia dengan tubuh berteknologi tinggi.

“Saya melihat antena ini bukan sebagai peranti tetapi adalah organ saya. Saya tidak memakai antena ini, sebaliknya saya mempunyai antena ini, jadi saya melihatnya sebagai sebahagian daripada diri saya.

“Saya datang ke sini untuk membincangkan bagaimana akan ada lebih banyak manusia yang menganggap diri mereka sebagai cyborg dan bagaimana kerajaan harus menerima perubahan ini,” katanya kepada wartawan.

Harbisson mendakwa implan itu membolehkannya memperluaskan persepsi tentang realiti di luar spektrum visual selain dapat mengesan gelombang inframerah dan ultraungu.

‘Cyborg’ itu juga mendakwa mempunyai sambungan internet di kepalanya yang memboleh­kannya menerima warna dari ba­hagian lain di dunia dan menyam­bungkan ke satelit untuk melihat warna dari ruang angkasa.