Oddity Central melaporkan, lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai David, ingin membeli sebuah kereta baharu dan dia tahu terpaksa mengeluarkan be­­­lanja yang tinggi untuk men­dapatkan insurans berikutan usianya pada awal 20-an selain turut mempunyai rekod saman serta kemala­ngan.

Sebut harga insurans bernilai AS$4,500 (RM18,275) setahun yang diperoleh oleh David daripada syarikat insurans adalah lebih tinggi daripada apa dia jangkakan, jadi dia mula memikirkan cara untuk mengurangkan kos berkenaan.

Pada suatu ketika, David pernah bertanyakan kepada syarikat insurans berapakah kos insu­rans untuk seorang wanita yang berdepan situasi sama sepertinya dan lelaki terbabit menyedari dia boleh berjimat sehingga AS$1,000 (RM4,061) setahun.

“Saya begitu marah tentang itu. Dan saya tidak mahu menanggung perbelanjaan yang tinggi.

“Jadi saya meminta mereka menukar jantina saya pada polisi insurans dan menurut syarikat insurans, mereka tidak boleh berbuat demikian,” katanya kepada CBC News.

David yang berusia 23 tahun ketika itu berjumpa doktor agar mengkategorikan dirinya sebagai wanita dan meminta surat rasmi dikeluarkan, yang kemudian diserahkan kepada kerajaan bagi menukar jantina pada dokumen pengenalan dirinya.

Beberapa minggu selepas menyerahkan surat doktor ter­babit dan kertas kerja lain kepada kerajaan, David menerima surat beranak baharu yang mengesahkan dia adalah wanita.

Dengan dokumen pengenalan baharu itu, dia berjaya menukar jantina pada lesen memandunya dan mendapatkan diskaun seba­nyak AS$91 (RM370) sebulan.

“Saya terkejut tetapi pada ma­sa yang sama, lega. Saya merasakan seperti sudah mengalahkan sistem undang-undang,” ujarnya.