Menurut portal berita Oddity Central, Moses Lanham menyedari keunikan pada tubuhnya sejak dia berusia 14 tahun.

Ketika itu dia memanjat tali di kelas gim tetapi kehilangan cengkaman lalu jatuh ke lantai dan mendarat dalam keadaan yang agak aneh.

Pada mulanya, Lanham menyangka tulang perge­langan kakinya patah dan beralih daripada kedudukan asal tetapi tidak lama kemudian menyedari dia dapat memusingkan kembali kakinya tanpa mengalami sebarang kesakitan.

Ujian perubatan mendedahkan dia mampu me­lakukan perkara itu kerana mempunyai rawan berganda di bahagian pinggul, lutut dan pergelangan kaki.

“Pernah suatu ketika, ada individu yang terkejut hingga termuntah ketika melihat saya memusingkan kaki saya. Saya gemar melakukannya di hadapan orang ramai dan suka melihat reaksi mereka yang kagum dengan kebolehan ini,” katanya.

Kemampuan yang luar biasa itu telah membantu Lanham memecahkan dua rekod dunia dengan salah satu daripadanya masih dipegang sehingga kini.

Lanham dilaporkan gagal mempertahankan rekod kaki paling fleksibel di dunia, tetapi masih menjadi lelaki terpantas di dunia yang berjalan dengan kaki berpusing ke belakang lebih daripada 20 meter.

“Banyak orang bertanya kepada saya jika ia me­nyakitkan atau berasa tidak selesa tetapi sebenarnya saya jauh lebih selesa berjalan dengan cara ini,” katanya.