Tindakan itu dilihat sebagai usaha mendapatkan perhatian bekas isterinya dengan menjadikan anak sebagai umpan.

Menurut laporan Mail Online, kejadian yang berlaku di sebuah perkampungan terpencil di daerah Qu, wilayah Sicuan baru-baru ini menggemparkan penduduk apabila menemukan kanak-kanak itu dalam keadaan menyedihkan.

Malah ketika itu, muka ka­nak-kanak tersebut berubah menjadi lebam kerana ditinggalkan dengan diikat pada kerusi buluh dalam kesejukan.

Sekeping nota turut ditinggalkan bersama kanak-kanak itu yang tertulis namanya sebagai Dian Dian dan merupakan anak perempuan kepada wanita yang hanya dikenali sebagai Wang.

Penduduk kampung percaya bahawa Dian Dian ditinggalkan oleh bapanya pada waktu te­ngah malam.

Polis mengesahkan bapa ka­nak-kanak tersebut yang bernama Luo tinggal di Pekan Qubei manakala ibu mangsa tinggal di Pekan Lifu.

Siasatan turut mengesahkan kanak-kanak tersebut ditinggalkan bersebelahan kubur neneknya.

Bapa Dian Dian yang merupakan seorang penganggur kini masih diburu pihak polis untuk membantu siasatan.

Ibu kepada kanak-kanak itu yang dipanggil untuk membantu siasatan mendedahkan, setelah bercerai, dia tinggal bersama anak perempuan sulung manakala Dian Dian tinggal bersama Luo.