Bagaimanapun, beliau yang ketika itu menerajui Pusat Kawalan Operasi Keselamatan Dalam Negeri di Ranong, menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk mengaut keuntungan daripada aktiviti ber­kenaan.

Portal The Nation melaporkan, Manas pada 2010 mengetuai 17 buah agensi kerajaan dalam Operasi Phithak Andaman, yang bertanggungjawab memantau dan memintas penyeludupan etnik Rohingya serta pendatang asing terutama melalui jalan darat di wilayah yang terletak di selatan Thailand itu.

Daripada situ juga, beliau me­ngetahui kewujudan dua buah kem penyeludupan utama di Ranong yang menjalankan sejumlah perniagaan haram termasuk pemerdagangan manusia.

Operasi tersebut yang kebanyakannya dijalankan secara rahsia turut melibatkan penubuhan jaringan pemantau awam untuk memantau pergerakan orang tidak dikenali dan pada masa sama memupuk sema­ngat patriotik, memberi latihan ketenteraan asas, dan jelajah hutan dalam kalangan penduduk tempatan.

Melalui misi secara rahsia itu, Manas berjaya menyembunyikan aktiviti haramnya daripada pasukan keselamatan itu dan orang luar.

Manas yang mempunyai karisma dan berdisiplin tinggi, menjadi popular dan disukai oleh penduduk tempatan.

Beliau sering dijemput untuk merasmikan majlis-majlis dan tu­rut menjadi penasihat kepada Kelab Bola Sepak Ranong.

Selepas dinaikkan jawatan kepada mejar jeneral, Manas cuba menjadi calon Senator, tetapi gagal mendapat sokongan.

Sementara itu, Myanmar hari ini dilapor menghantar 727 orang hanyut di Laut Andaman ke Rak­hine, barat negara itu selepas menahan bot yang dinaiki mereka di laut selama beberapa hari. – Agensi/Reuters