Gabenor South Carolina, Henry McMaster mengarahkan lebih sejuta penduduk di semua negeri Pantai Timur negara ini berpindah dari rumah masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi Florence yang dijangka membadai pada Khamis ini.

“Florence merupakan taufan pa­ling berbahaya setakat ini dan arahan perpindahan adalah mandatori dan bukannya secara sukarela.

“Kami sebolehnya tidak mahu sesiapa terkorban dalam bencana alam ini,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga menerusi Twitternya mengingatkan orang ramai supaya bersedia dan berhati-hati dalam berdepan dengan taufan yang disifatkan paling teruk bakal melanda Pantai Timur AS dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Semua sekolah di 46 daerah juga diarahkan ditutup bermula hari ini, selain Gabenor North carolina turut mengeluarkan arahan supaya kawasan pulau Outer Banks yang terkenal dalam kalangan pelancong ditutup buat sementara waktu.

Florence mempunyai potensi untuk mencetuskan banjir di kawasan timur AS yang sebelum ini sudahpun dilanda hujan lebat.

Taufan itu kini berada pada kedudukan 844 kilometer ke selatan tenggara Bermuda dan pusat taufan dijangka melalui antara Bermuda dan Bahamas pada hari ini serta esok.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC), Florence kini bergerak ke arah barat dengan kelajuan 13 kilometer sejam.

Selain itu, NHC juga meramalkan North dan South Carolina serta Virginia merupakan antara kawasan paling teruk dibadai taufan itu kelak.

Gabenor Virginia, Rapl Northam juga menjangkakan bencana itu akan menyebabkan banjir, angin kencang dan terputus bekalan elektrik, selain khuatir keadaan banjir menjadi risiko kepada kes kematian penduduk tempatan.

Dalam pada itu, pengurus premis perniagaan peralatan pertukangan di Charleston, South Carolina, John Johnson memberitahu orang ramai mula membeli lampu suluh, bateri dan guni pasir sejak Jumaat lalu sebagai persediaan untuk menghadapi taufan tersebut.

Sementara itu, pasukan Tentera Luat AS juga bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan menghantar kira-kira 30 kapal ke laut bagi mengelakkan kerosakan akibat angin kencang dan ombak kuat. – AFP