Pentadbiran Trump menyifatkan peningkatan itu membuktikan berlakunya `krisis sempadan’ kerana pegawai penguatkuasa imigresen sukar menahan dan menghantar mereka pulang berikutan undang-undang AS yang melindungi pendatang kanak-kanak.

Trump dan aktivis konservatif di Washington baru-baru ini mendakwa ‘penjenayah dan warga Timur Tengah yang tidak dikenali’ turut serta dalam gerombolan pendatang di Mexico tetapi mereka tidak mengemukakan sebarang bukti.

Pegawai antikeganasan AS, bagaimanapun memaklumkan dakwaan masih belum disiasat.

Sementara itu, lebih seribu penduduk Amerika Tengah di Guatemala berpusu-pusu ke sempadan Mexico semalam selepas segerombolan pendatang yang mencetuskan kemarahan Presiden AS, Donald Trump berhenti seketika di selatan Mexico dalam perjalanan ke negara berkenaan.

Pendatang kebanyakannya dari Honduras melarikan diri daripada keganasan dan kemiskinan di negara asal kini berada di bandar Huixtla, Chiapas kira-kira 50 kilometer utara sempadan Guatemala iaitu kira-kira 1,800 kilometer dari AS.

Semalam kerajaan Mexico memaklumkan, pihaknya menerima sebanyak 1,699 permohonan untuk status pelarian termasuk kanak-kanak dalam kumpulan yang dianggarkan terdiri daripada seramai 4,500 orang.

Pada masa yang sama di Guatemala sebuah lagi kumpulan yang terdiri daripada 1,000 pendatang kebanyakannya juga dari Honduras berjalan kaki dari bandar Chiquimula.

Beberapa gerombolan lain dijangka bertolak dari Amerika Tengah dalam tempoh beberapa hari lagi berikutan laporan yang menyebut bahawa laluan itu adalah lebih selamat. – Reuters