Ketua Agensi Perhutanan dan Alam Sekitar Riau, Yulwiriati Moesa berkata: “Kami kini sedang menunggu helikopter dan selain Riau, laporan mengatakan sebuah helikopter juga akan dikerahkan ke Kalimantan.”

Yulwiriati dipetik portal Jakarta Post sebagai berkata demikian semasa satu mesyuarat penyela­rasan bersama Pejabat Gabenor Riau, semalam.

Beliau berkata, pihak berkuasa Riau telah meminta bantuan Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar di Jakarta bagi menangani kebakaran hutan ini.

Katanya, helikopter akan dapat membantu mereka memadam kebakaran di 12 buah daerah dan kawasan perbandaran Riau.

“Saya telah melawat lokasi di mana kebakaran hutan berlaku di hutan Bukit Betabuh di daerah Kuantan Singingi beberapa hari lalu.

“Bomba berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi ekoran kawasan itu yang berbukit bukau dan (kehadiran) helikopter amat-amat diperlukan,” katanya.

Sementara itu, di sebalik kawasan kebakaran dikesan pada minggu ini di beberapa buah daerah Riau, pihak berkuasa, bagaimanapun masih belum mengeluarkan amaran kecemasan, iaitu langkah yang diperlukan kerajaan untuk menge­rahkan kesemua kelengkapan ke kawasan terjejas kebakaran.

“Ia memerlukan sekurang-kurangnya dua buah daerah atau perbandaran mengumumkan amaran kecemasan di kawasan mereka sebelum kami boleh mengeluarkan amaran kecemasan peringkat wilayah,” kata Setiausaha Pentadbiran Riau, Ahmad Hijazi.

Ahmad berkata, pejabatnya ketika ini mendesak beberapa buah daerah bagi meningkatkan status mereka bagi memboleh­kan pentadbiran Riau mengumumkan amaran kecemasan bagi mengelak jerebu pada peringkat awal.

Sementara itu, Jurucakap Pemerintah Tentera Riau, Brigadier Jeneral Nurendi meminta semua agensi berkaitan bencana supaya meningkatkan kesedia­an ekoran ramalan wilayah ini berdepan musim kering yang te­ruk tahun ini.