Ketua Supritendan Polis, John Bulalacao mengesahkan sebanyak 102 orang suspek dibunuh polis antara 5 Disember dan 1 Mac lalu berikutan arahan Duterte itu.

Duterte yang dipilih sebagai Presiden pada 2016 berikrar untuk membanteras dadah, kempen yang tidak pernah diadakan sebelum ini dengan aktivis hak asasi manusia mendakwa sebanyak 12,000 orang maut dalam operasi tersebut.

Pada Oktober tahun lalu, Presiden mengumumkan bahawa Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina akan menggantikan polis dalam operasi memerangi dadah selepas meningkatnya bantahan orang ramai termasuk bantahan jalanan yang biasanya jarang berlaku.

Bagaimanapun Duterte, 72, berulang kali mendakwa agensi itu yang hanya mempunyai 2,000 orang anggota tidak mampu untuk membanteras masalah dadah secara berkesan.

Duterte kemudiannya mengarahkan polis kembali menyertai kempen antidadah tanpa melakukan sebarang perubahan besar-besaran dalam agensi itu.

Bulalacao bagaimanapun tidak dapat memberikan angka kematian keseluruhan sebelum 5 Di­sember ketika statistik yang dikeluarkan secara berasingan oleh kerajaan melaporkan sebanyak 4,021 'perso­naliti dadah’ maut antara tempoh Jun 2016 hingga 8 Februari tahun ini.

Sementara itu Bulalacao sempat ditanya tentang kesediaan polis untuk be­kerjasama dengan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat dakwaan kekejaman polis dalam kempen memerangi dadah.

“Jika penyiasat antarabangsa cuba menghampiri polis, kami akan merujuk perkara ini kepada pihak yang lebih tinggi,” katanya. – AFP