Terdapat kebimbangan bahawa ramai yang tertimbus dalam runtuhan di kompleks perumahan kerajaan di Balaroa.

“Kami menganggarkan lebih 1,000 rumah runtuh, jadi berkemungkinan lebih 1,000 orang masih hilang.

“Kami belum dapat mengesahkannya kerana mungkin ada mereka yang berjaya keluar dari runtuhan tersebut,” kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Yusuf Latif.

Sementara itu, pasukan pencari dan penyelamat Perancis dan Indonesia berdepan situa­si sukar ketika mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan Hotel Mercure.

Meskipun menggunakan anjing pengesan dan alat pengimbas untuk mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan terbabit semalam, pada awal pagi tadi ketika usaha diteruskan semua tanda-tanda mangsa tersebut terselamat telah hilang.

“Semalam, kami mengesan denyutan jantung dan tanda-tanda pernafasan mangsa, te­ta­pi hari ini kami tidak dapat mengesan sebarang pergerakan langsung. Ini bermakna mang­sa yang terperangkap telah me­ning­gal dunia.

“Hari ini, tiada lagi sebarang isyarat dikesan,” kata Presiden Bomba Kecemasan Antarabangsa, Philippe Besson.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, pasukan penyelamat me­lakukan usaha terakhir hari ini bagi mencari mangsa-mang­sa yang masih selamat.

Menurut juruca­kap tentera tempatan, Muhammad Thohir, angka kematian meningkat kepada 1,571 orang hari ini.

Ratusan mayat terpaksa dikebumikan dalam satu liang lahadbagi mengelak wabak penyakit berpunca daripada mayat reput.

Pihak berkuasa sebelum ini mahu operasi mencari dan me­nyelamat mangsa yang masih hidup ditamatkan hari ini, peluang untuk mengeluarkan mereka dari runtuhan pada peringkat ini adalah sukar.

Operasi mencari tertumpu kepada lapan lokasi utama hari ini, termasuklah di pantai dan kawasan Balaroa.

Pada masa sama, keadaan di kawasan bencana mulai me­nunjukkan tanda-tanda kehidupan kembali normal.

Bagaimanapun, pemulihan sepenuhnya akan mengambil masa bertahun-tahun lama-nya. – AFP